Search This Blog

Tuesday, October 15, 2013

Nahas kali ke-4 ragut nyawa

Melaka: “Dia (anak) sebelum ini pernah terbabit dalam tiga kemalangan berasingan termasuk melanggar lori, namun terselamat. Malangnya, kemalangan kali keempat meragut nyawanya,” kata Idris Hussin, 55, bapa kepada seorang penjual air mineral yang maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Tanjong Mak Midah, Tiang Dua di sini, semalam.
Lebih memilukan apabila mangsa, Mohd Faizel, 28, bukan saja tidak sempat menyambut Aidiladha, malah tidak berpeluang meraikan sambutan hari jadinya hari ini. 
Difahamkan, dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125 Z bersendirian menuju ke rumah rakannya di sekitar lokasi berkenaan untuk memberikan wang hasil jualan.

Namun, setibanya di lokasi kejadian, anak kedua daripada enam beradik itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar tiang elektrik manakala motosikalnya tercampak ke pokok berdekatan.
Foto
ORANG ramai membantu mengangkat motosikal mangsa

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di badan dan dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk dibedah siasat.

Menurut Idris, kali terakhir menemui mangsa ketika dia bersiap menuju ke tempat kerjanya di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jasin pada jam 7.30 pagi semalam.

“Sewaktu berada di rumah kami di sekitar Ayer Molek, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik dan memberitahu mahu berjumpa rakannya untuk memberi wang.

“Namun, dua jam kemudian, saya terkejut dihubungi ahli keluarga mengenai kemalangan itu dan bergegas ke lokasi kejadian,” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HM di sini, semalam.

Dia berkata, anaknya itu pernah tiga kali terbabit kemalangan sebelum ini.

“Hati bapa mana tidak sedih kehilangan anak, apatah lagi ia berlaku menjelang sambutan Aidiladha. 

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ajal atau ‘panggilan’ Ilahi untuknya sudah sampai,” katanya. 

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ayer Molek.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Superintendan Noh Che Pa mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

No comments:

Post a Comment