Search This Blog

Tuesday, October 8, 2013

Mohon bicara ubah duit haram RM1.1 juta



Shah Alam: Selepas bapa dan dua beradiknya didakwa di mahkamah minggu lalu atas pertuduhan pengubahan wang haram yang mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn Bhd (GMSB), seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas kesalahan sama membabitkan RM1.1 juta.

Tertuduh, Ng Wan Yean, 29, pengarah syarikat Ng Advantage Sdn Bhd itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan apabila 19 pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Noraridah Ahmad.


Mengikut pertuduhan, Wan Yean didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berkenaan yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bank CIMB Bhd, Jalan PJU 1/3F Sunwaymas Commercial Centre, Petaling Jaya, dekat sini, antara 18 Julai 2011 sehingga 28 Ogos 2012.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.


Mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber untuk memindahkan semua kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan menetapkan 25 Oktober depan bagi sebutan semula kes. Mardziatun Nisa juga tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh dengan alasan kes berkenaan adalah serius dan membabitkan jumlah yang banyak, namun jika mahkamah membenarkan ikat jamin, pihaknya mencadangkan wanita itu diikat jamin RM1 juta serta pasport diserahkan kepada mahkamah. Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili AS Dhaliwal memohon jaminan diberikan dan dalam jumlah yang rendah memandangkan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan.

Noraridah kemudian membenarkan wang jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin dan turut memerintahkan semua dokumen perjalanan diri diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

No comments:

Post a Comment