Search This Blog

Thursday, October 3, 2013

Mimpi ngeri dua beranak

Mimpi ngeri dua beranakAlias memeriksa kerosakan pada bot gentian kaca miliknya sebaik tiba di Pantai Pulau Kekabu, semalam.

MARANG - Aktiviti menangkap ikan yang menjadi kegiatan harian dua beranak berakhir dengan episod menakutkan apabila bot gentian kaca dinaiki bertembung sebuah bot kayu menyebabkan mereka nyaris lemas di Laut China Selatan, semalam.

Nelayan terbabit, Alias Idris, 47, berkata, selepas bertembung bot kayu berkenaan, dia dan anaknya, Muhammad Aizat, 21, tersungkur dan nyaris terjatuh ke dalam laut, manakala bot gentian kaca dinaiki mereka pecah dan mulai karam.

“Kami langsung tidak nampak bot itu datang menghala ke arah bot kami. Kami bertembung dan menyebabkan bahagian hadapan bot ini pecah. Ia mulai karam apabila air masuk memenuhi ruang bahagian dalam bot.

“Saya secara spontan memaut bot kayu yang berada di depan mata manakala anak saya berusaha menyelamatkan dirinya agar tidak tenggelam bersama bot yang kami naiki,” katanya ketika ditemui di Pantai Pulau Kekabu, di sini.

Alias berkata, semasa kejadian keadaan sungguh cemas ditambah dengan suasana gelap gelita, namun dia bernasib baik kerana masih sempat mengikat tali bot miliknya pada bot kayu itu.

“Kejadian berlaku jam 5.30 pagi, kami dua beranak keluar ke laut kira-kira jam 5 pagi dan berada kira-kira lima kilometer dari Pantai Pulau Kekabu sebelum bot gentian kaca ini bertembung dengan bot kayu tersebut.

“Mujurlah saya sempat mengikat bot ini, walaupun ia tenggelam, kami masih dapat selamatkan dan menundanya ke pantai semula,” katanya yang keluar awal pada hari kejadian untuk menangkap ikan kembung.

Dalam pada itu, Alias yang juga ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Marang berharap dapat turun semula ke laut dalam masa terdekat ini sebelum berehat panjang dalam menghadapi ketibaan musim tengkujuh.

No comments:

Post a Comment