Search This Blog

Saturday, October 19, 2013

Maut ditimbus isirong sawit


Bagan Serai: Seorang kelindan lori maut dalam keadaan mengerikan apabila mangsa ditimbus muatan buah kelapa sawit seberat hampir lima tan di sebuah kilang di Sungai Jawi, di sini.

Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, mangsa, Mohd Rashidi Zainon, 22, dipercayai terjatuh dan ditimbus isirong kelapa sawit itu sewaktu menurunkan muatan dari lori.
Rakan mangsa, Farizan Ramli, 32, yang memandu lori itu berkata, kejadian berlaku ketika dia dan mangsa membawa muatan buah kelapa sawit itu untuk diproses ke kilang.

Menurutnya, Rashidi turun dari lori bersamanya membuka dinding papan pada bahagian belakang lori untuk menurunkan muatan isirong itu.


“Namun, sebaik muatan isirong kelapa sawit itu dipunggah turun, saya pelik apabila mendapati kelibat Rashidi tiada di situ.


“Saya segera mengalihkan lori sebelum masuk semula ke dalam kawasan kilang mencarinya.

“Namun, semua pekerja ditemui di dalam kilang itu mendakwa tidak melihat rakan saya itu,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Parit Haji Kassim, di sini, semalam.

Farizan berkata, dia meminta seorang pekerja kilang supaya mengalihkan longgokan isirong itu menggunakan jentolak.

“Saya tergamam apabila melihat kaki Rashidi terjulur keluar di bawah timbunan isirong kelapa sawit itu. Saya cuba menariknya keluar dari bawah timbunan isirong kelapa sawit itu, namun gagal.

“Tiga pekerja kilang itu kemudian membantu saya mengeluarkan Rashidi yang ketika itu sudah tidak sedarkan diri.

Sementara itu, ibu mangsa, Zurita Rejab, 40, meluahkan rasa sedih terhadap kematian anak sulungnya itu.

Menurutnya, arwah ada memasang impian menjadi anggota polis dan sudah menjalani proses temu duga di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment