Search This Blog

Friday, October 25, 2013

Mangsa peluru sesat: Budak 'Rambo' curi perhatian

Mangsa peluru sesat: Budak 'Rambo' curi perhatianMohd Amar ditemani ibunya keluar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, semalam.
Ramai hairan melihat Mohd Amar berjalan seperti biasa keluar hospital

Ipoh: Budak ‘Rambo’ yang selamat menjalani pembedahan mengeluarkan peluru sesat tersangkut pada kerongkongnya Ahad lalu, masih mampu tersenyum sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Kelibat Mohd Amar Mohd Azizi, 10, yang berjalan seperti biasa meninggalkan hospital itu sambil ditemani keluarganya jam 12.30 tengah hari, cukup menghairankan mereka yang melihatnya, berbanding kejadian menimpanya pada 14 Oktober lalu yang dianggap satu keajaiban apabila peluru itu menembusi hidung sebelum tersangkut di saluran kerongkongnya.
Beliau yang ditemui dengan kesan jahitan jelas kelihatan menutup lubang peluru menembusi hidungnya, mengakui sedikitpun tidak berasa sakit selepas menjalani pembedahan berisiko tinggi yang dilakukan sekumpulan pakar HRPB.


“Tidak sakit sekarang. Masa kejadian dulu juga saya terus berdiri tetapi menggeletar sedikit selepas muka berasa berdenyut sebelum terpaksa menadah darah yang banyak keluar,” katanya yang mengakui hero dalam filem Rambo sebagai idolanya dan selain bercita-cita menjadi perajurit.


Ditemani ibu, bapa

Mohd Amar meninggalkan hospital ditemani ibu bapanya, Mohd Azizi Abdullah Halim dan Salina Mohd Nor, yang masing-masing berusia 48 tahun serta kakaknya, Nur Aqilah, 22.
Dua pegawai perubatan iaitu Dr Alex Khoo dan Dr Khairun Mohd Mispan yang memantau keadaannya sempat mengucapkan selamat tinggal serta bersalaman apabila terserempak dengannya di pekarangan HRPB.

Mohd Amar terkena peluru sesat daripada pistol seorang anggota polis berpangkat Sarjan ketika mengosongkan pistol automatik jenis P99 Wal-ther di tangga depan rumah mentuanya di Kampung Belanja Kiri, di Parit.

Anggota terbabit dikatakan tertekan picu lalu peluru menembusi hidung sehingga kerongkong Mohd Amar yang kebetulan melalui jalan di hadapan rumah mentua suspek dari jarak 40 meter.

Mohd Amar yang terpaksa memakai alat penyokong leher hingga membataskan pergerakannya bahagian atas bahunya berkata, selepas kejadian, dia masih mampu berjalan ke rumah saudaranya sebelum dibawa mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, anaknya perlukan rawatan susulan di HRPB.

Syukur semua selamat

“Saya bersyukur semuanya selamat. Saya mengucapkan terima kasih kepada doktor dan kakitangan hospital yang membantu merawat anak saya dan begitu juga kepada pihak media,” katanya.

Beliau mengakui ada pegawai Bahagian Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil kenyataannya berhubung kejadian itu beberapa hari lalu.

Katanya, isteri dan keluarga isteri anggota polis berkenaan turut melawat anaknya di HRPB termasuk meminta maaf atas kejadian yang berlaku.

“Saya memaafkan individu yang terbabit dalam kes ini tetapi dari segi undang-undang, saya serahkan kepada pihak polis untuk menentukannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment