Search This Blog

Friday, October 25, 2013

Mangsa kilang runtuh belum terima pampasan


Gambar fail bertarikh 28 April lalu, menunjukkan seorang lelaki memegang gambar saudara-maranya yang terperangkap dalam runtuhan kilang pakaian Plaza Rana di pinggir Dhaka, Bangladesh. - AFP
DHAKA 24 Okt. - Kira-kira 94 peratus mangsa kilang pakaian runtuh, di sini pada enam bulan lalu masih belum mendapat pampasan.
Menurut sebuah badan kebajikan, Action Aid, kebanyakan mangsa yang terselamat mengalami kecederaan parah sehingga hilang keupayaan untuk bekerja.
Lebih 1,130 orang terbunuh apabila bangunan Plaza Rana setinggi lapan tingkat runtuh pada 24 April lalu.
Sementara itu, sekumpulan mangsa yang terselamat dan kanak-kanak yang menjadi anak yatim ekoran ibu bapa mereka terkorban dalam kejadian itu mengadakan tunjuk perasaan, di tapak runtuhan, hari ini.
Kumpulan kanak-kanak itu memegang papan sepanduk bertulis 'Kami kehilangan ibu bapa kerana mereka bekerja untuk anda: Walmart, Carrefour, Bennetton'.
Demonstrasi itu turut mendapat reaksi kumpulan aktivis yang tidak berpuas hati dengan cara layanan majikan terhadap mangsa-mangsa yang terselamat.
Ketua Kesatuan Industri Global Bangladesh, Roy Ramesh berkata, seramai 3,629 pekerja kilang tersebut masih belum menerima sebarang pampasan.
"Setakat ini, hanya sebuah syarikat iaitu Primark yang menyediakan bantuan kewangan kepada mangsa dengan pemberian dana sebanyak 118 pound (RM578) kepada setiap mangsa," katanya.
Seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kejadian itu, Rezul Karim, 32, berkata, dia tidak menerima sebarang pampasan lain selain yang diberi oleh Primark.
"Saya mengalami kecederaan di bahagian saraf tunjang, menyebabkan saya tidak boleh bekerja, namun saya memerlukan wang untuk hidup.
"Bantuan yang diberikan oleh kerajaan tidak mencukupi memandangkan saya masih memerlukan wang untuk rawatan serta perkara lain," ujarnya.
Jumlah peratus itu diperoleh berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Action Aid ke atas hampir dua pertiga mangsa yang terselamat, termasuk ahli keluarga mereka. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131025/lu_02/Mangsa-kilang-runtuh-belum-terima-pampasan#ixzz2ijmwCGXI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment