Search This Blog

Saturday, October 19, 2013

Lori besar angkut 22 lembu curi


Kuala Kangsar: Seorang penternak lembu terkejut apabila 22 ekor lembu peliharaannya dicuri kumpulan penjenayah yang dipercayai menggunakan lori besar untuk melarikan semua ternakannya itu.

Dalam kejadian jam 3 petang semalam, mangsa, Khairi Sazizi Zainuddin, 48, terkejut selepas mendapati lembu diletakkan di dalam kandang di Kampung Ara Panjang, di sini, dicuri penjenayah terbabit.
Menurutnya, tiga lembu yang dicuri itu sudah ditempah pelanggan dan menanti masa diserahkan.

“Saya hanya menyedari kehilangan itu ketika mahu melepaskan ternakan dari kandang untuk meragut rumput di kawasan berhampiran.


“Saya tergamam seketika dan tidak percaya semua lembu milik saya dianggarkan bernilai hampir RM40,000 itu lesap dilarikan pencuri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Dia percaya kumpulan pencuri menggunakan lori besar untuk melarikan ternakannya susulan penemuan kesan tayar lori berhampiran kandang lembunya.

“Rantai yang mengunci pagar kandang lembu saya turut dipotong. Malah, penjenayah turut membina laluan khas untuk membolehkan lembu milik saya dipindahkan masuk ke dalam lori.

“Saya percaya penjenayah bertindak mengumpul semua lembu saya terlebih dulu sebelum dihalau masuk ke dalam lori yang diletakkan di sebelah kandang,” katanya.

Menurutnya, kejadian seumpama itu pernah berlaku di kawasan berhampiran, namun kehilangan lembu milik penternak lain tidak sebanyak yang dialaminya.

“Saya terbabit dalam bidang penternakan sejak lapan tahun lalu dan ini kali pertama saya mengalami kejadian seumpama itu,” katanya.

Menurutnya, dia sudah membelanjakan lebih RM6,000 untuk membina kandang terbabit.

“Saya rasa amat kecewa kerana kumpulan pencuri mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang sedangkan saya berhempas-pulas bekerja menjaga haiwan ternakan itu,” katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Manong, di sini.

No comments:

Post a Comment