Search This Blog

Saturday, October 26, 2013

Liong Sik bebas tuduhan tipu Kabinet skandal PKFZ

Liong Sik  bebas tuduhan tipu Kabinet skandal PKFZKuala Lumpur: Tun Dr Ling Liong Sik (gambar) semalam, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tuduhan menipu Kabinet berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), 11 tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan utama dan dua tuduhan pilihan ke atas Liong Sik.
Liong Sik, 70, yang juga bekas Menteri Pengangkutan selama 17 tahun, kelihatan tenang dan hanya mendiamkan diri sebaik keputusan berkenaan diumumkan.


Beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 29 Julai 2010 dan diperintah membela diri pada 9 Mac tahun lalu atas tiga tuduhan menipu Kabinet memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah bagi projek PKFZ mengikut syarat dipersetujui di antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Dituduh tak dedah faedah 7.5 peratus

Liong Sik dituduh tidak mendedahkan faedah 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah berasaskan kadar RM25 bagi keluasan 30.48 sentimeter (sm) persegi iaitu RM1,088,456,000, sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dalam menentukan kadar itu sudah mengambil kira kadar kupon atau faedah.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat Empat, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam penghakiman bertulis setebal 42 muka surat, Ahmadi berkata, tertuduh tidak memberikan sebarang arahan bercanggah dengan kepentingan, undang-undang atau dasar yang merugikan kerajaan.

Ahmadi berkata, tidak mungkin tertuduh dapat menyembunyikan penilaian yang dibuat JPPH daripada Kabinet, tanpa pengetahuan pegawai di Kementerian Pengangkutan.

Katanya, tertuduh hanya menandatangani apa yang diserahkan oleh pegawainya dan kemudian membuat pembentangan kepada Kabinet.

“Keterangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas menteri Kabinet, Tan Sri Dr Fong Chan Onn dan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, juga jelas menunjukkan tidak berlaku penipuan, salah nyata atau dorongan bagi elemen faedah yang perlu dibayar dalam pembelian tanah itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment