Search This Blog

Saturday, October 12, 2013

‘Lihat manusia tercampak’


Sarikei: “Saya sedang rancak berbual dengan rakan sebelum secara tiba-tiba melihat tubuh manusia tercampak dan jatuh di atas tanah,” kata Victor Lim, 40, yang menyaksikan seorang lelaki parah selepas terjatuh daripada gondola roda Ferris pada ketinggian kira-kira 10 meter di tapak pesta ria, di sini, kelmarin.

Menurut Victor, kejadian kira -kira jam 9 malam itu berlaku pantas sehingga menggemparkan ratusan pengunjung di tapak pesta berkenaan.


Katanya, dia melihat dengan jelas seorang penumpang roda Ferris berkenaan yang berbadan agak gempal jatuh daripada salah satu kapsul roda yang sedang berpusing itu.

“Kami kemudiannya bergegas memberikan bantuan kepada mangsa yang berlumuran darah. “Mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya, di sini, semalam.


Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Wong Kiing Long, 19, dari Sibu mengalami kecederaan parah di kepala dan ditemui terbaring di atas tanah dalam keadaan tidak sedarkan diri.


Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Sarikei Unjah Janggau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.41 malam.

Katanya, sebaik tiba enam minit kemudian, pihaknya bertindak pantas memantau keadaan mangsa yang parah sebelum dikejarkan ke hospital oleh pemilik tapak pesta berkenaan. Difahamkan, penganjur tapak pesta sudah tampil membuat laporan di Balai Polis Sarikei tidak lama selepas kejadian.


Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, siasatan masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment