Search This Blog

Saturday, October 26, 2013

Lepas tembakan takutkan rakan

Shah Alam: Akibat tidak puas hati terhadap rakannya selepas menyedari ditipu berhubung pinjaman wang, seorang lelaki bertindak melepaskan tembakan ke udara di depan kediaman rakannya itu dalam kejadian di Pulau Indah, Klang.
Bagaimanapun suspek berusia 28 tahun itu ditahan jam 7.30 pagi kelmarin dan polis turut merampas sepucuk pistol serta beberapa butir peluru di rumahnya. 
Dalam soal siasat lanjut yang dijalankan polis, suspek mengakui membeli senjata api itu dari negara jiran bersama peluru yang dirampas.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kejadian pertama berlaku Isnin lalu jam 8 malam, selepas suspek mendakwa mangsa menipu dalam urusan pinjaman wang membabitkan dirinya.

“Suspek kemudian bertindak melepaskan tembakan ke udara berhampiran rumah mangsa dengan tujuan menakut-nakutkan mangsa.

“Dalam kejadian kedua, suspek sekali lagi melepaskan tembakan ke udara jam 3 petang kelmarin,” katanya ketika sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, suspek kemudian membuat pengakuan membeli pistol berkenaan di sempadan negara jiran dengan harga tertentu dan pihaknya kini sedang giat mengesan kegiatan penjualan senjata api secara haram itu.

Katanya, selain pistol dan juga peluru, polis turut merampas pelbagai dokumen serta wang tunai milik suspek.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 kerana memiliki pistol dan juga Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.

No comments:

Post a Comment