• Din menunjukkan baki wang tunai yang dijumpai bersama suspek dipercayai hasil kegiatan samun dilakukannya.
BATU PAHAT - Pengalaman lama bekerja di sebuah rangkaian farmasi terkenal, modus operandi digunakan seorang lelaki menyamun beberapa premis sama di negeri ini.

Bagaimanapun, tindakannya terbongkar apabila dia ditahan polis, 21 September lalu, di Johor Bahru, dipercayai ketika sedang merancang untuk melakukan samun.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kegiatan terakhir dilakukan lelaki itu pada 15 September lalu, dengan memasuki sebuah  farmasi di Yong Peng.

Menurutnya, lelaki terbabit mengarahkan salah seorang pekerja membuka peti besi kemudian mengikat semua kakitangan bertugas.

Jelasnya, lelaki berkenaan yang telah memastikan tiada pelanggan lain turut menakutkan pekerja farmasi dengan sebilah pisau dibawanya.

“Suspek telah berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM19,800 kemudian melarikan diri ke Johor Bahru.

“Hasil penahanan suspek berumur 24 tahun itu, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk menyamun mangsa di beberapa farmasi,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Din berkata, selain di Yong Peng, tiga farmasi lain telah berjaya disamun dan dengan tertangkapnya lelaki berkenaan, polis berjaya menyelesaikan ketiga-tiga kes itu.

Tambahnya, hasil maklumat saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh pada hari kejadian juga membantu polis  mengesan lelaki itu.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun  dan denda.

“Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut dengan kes samun serupa yang membabitkan farmasi di beberapa daerah lain termasuk di Kulaijaya dan Johor Bahru yang dipercayai turut melibatkan suspek,” katanya.