Search This Blog

Friday, October 4, 2013

Lelaki ceroboh tanah disyaki komando MNLF


KOTA KINABALU 4 Okt. - Polis membuka kertas siasatan baharu terhadap seorang lelaki warga Filipina yang dipenjarakan 18 bulan oleh Mahkamah Tawau pada 9 September lalu atas kesalahan menceroboh tanah rizab hutan apabila menemui petunjuk tahanan itu adalah anggota komando sebuah kumpulan pengganas negara berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, polis menemukan beberapa barangan ketenteraan seperti beret, logo, uniform, salutan pangkat pegawai komando yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pimpinan Nur Misuari.
Katanya, bahan-bahan bukti itu ditemukan semasa pasukan keselamatan dan jabatan perhutanan merobohkan rumah suspek yang dibina secara haram pada 24 September lalu selepas mendapat perintah mahkamah.
"Pada masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada suspek merupakan saki-baki kumpulan pengganas yang menyerang Kampung Tanduo atau pecahan anggota MNLF yang melarikan diri daripada pemberontakan di Selatan Filipina baru-baru ini.
"Kita juga ingin mengetahui tujuan suspek berada di negeri ini. Suspek ditahan pada awal September lalu oleh pasukan Renjer Hutan yang melakukan rondaan di kawasan Rizab Hutan, Kampung Marabung, Tungku, Lahad Datu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Omar, satu laporan polis dibuat pada 25 September lalu bagi membolehkan satu kertas siasatan dibuka bagi menyiasat perkara itu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang boleh dipenjarakan seumur hidup jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131005/je_04/Lelaki-ceroboh-tanah-disyaki-komando-MNLF#ixzz2goExLcn6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment