Search This Blog

Friday, October 25, 2013

‘Ladang tebu’ toksik

Rawang: Tindakan individu yang membuang sisa toksik dengan berselindung di balik tanaman tebu di Jalan Batu Arang, Sungai Bakau, Rawang selama dua tahun akhirnya terbongkar apabila diserbu Majlis Perbandaran Selayang (MPS), awal pagi semalam.
Bagaimanapun, serbuan itu seolah-olah dapat dihidu apabila tiada seorangpun pekerja berada di lokasi tersebut, hanya dua jentolak yang ditinggalkan.

Yang Dipertua MPS, Mohd Azizi Mohd Zain berkata, dalam serbuan yang dilakukan pihaknya bersama agensi bomba dan penyelamat serta jabatan alam sekitar menemui antara 20 dan 30 tong yang berisi cecair dipercayai bahan kimia.
“Selepas mendapat aduan awam empat minggu lalu, siasatan mendapati memang berlaku pembuangan toksik secara haram dengan menanamnya di dalam sebidang tanah milik persendirian.

“Ini menyebabkan tanah di sini tercemar selain beberapa kesan pencemaran lain termasuk bau. Namun begitu hasil pemeriksaan mendapati kandungan oksigen dalam udara berada pada tahap selamat selain kandungan Ph dalam tanah yang belum berada pada tahap bahaya.

“Bagaimanapun, kegiatan mereka menanam bahan toksik tersebut tetap salah kerana boleh menyebabkan air (ketika hujan) dari tanah tersebut mengalir ke longkang berhampiran seterusnya masuk ke dalam Sungai Keruh.
Foto
ANGGOTA penguat kuasa melakukan siasatan di tempat pembuangan sisa toksik.
“Kami tidak mahu kejadian pencemaran air akibat pembuangan diesel dari kilang dulu berulang kerana boleh menjejaskan ramai orang,” katanya kepada media, di sini semalam.

Tinjauan semalam mendapati bau busuk bahan kimia dapat dihidu, selain sakit mata dan tekak dapat dirasai sepanjang berada di lokasi.
Malah, perkara itu disahkan penduduk berhampiran yang turut mengalami masalah sama termasuk batuk teruk sejak tahun lalu.

Difahamkan mereka juga terpaksa menghidu bau asap berikutan pembakaran tayar kereta yang banyak di kawasan tersebut termasuk pada sebelah malam.

Perkara itu turut diakui Mohd Azizi memandangkan terdapat banyak longgokan tayar termasuk yang sudah dibakar di situ dan ia menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes.

“Selain menutup premis, merampas harta termasuk dua jentolak serta merobohkan struktur bangunan yang dibina, MPS juga akan mengambil tindakan ke atas pihak terbabit kerana menyebabkan pembiakan nyamuk aedes di sini.

“Malah, menurut pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Gombak (PTDG), penyewa dan pemilik tanah juga melanggar syarat guna tanah yang sepatutnya sebagai tanah pertanian untuk ternakan.

“Justeru PTDG akan mengeluarkan notis 7A bagi mengarahkan pemilik tanah melakukan kerja baik pulih segera dilakukan dalam tempoh tiga bulan.

“Jika mereka gagal berbuat demikian, kemungkinan besar PTDG akan merampas tanah tersebut melalui notis 8A,” katanya.

No comments:

Post a Comment