Search This Blog

Saturday, October 19, 2013

Kempunan bawa anak bongsu balik kampung


Putrajaya: Hajat seorang bapa membawa anak bongsu berusia 10 hari pulang ke kampung berjumpa ahli keluarga tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi dinaikinya terbabas di Lebuh Sentosa susur ke Persiaran Barat di sini, jam 8.30 pagi, semalam.

Mangsa Fadzli Mahpudz, 33; seorang eksekutif PETRONAS dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Menara KLCC maut ditempat kejadian akibat kecederaan di kepala.


Kakak mangsa Mareena Mahpudz, 40; berkata, kali terakhir dia berjumpa adik bongsunya Sabtu lalu, ketika membawa ibunya melawat isteri arwah yang bersalin 9 Oktober lalu di rumah mereka di Presint 11, Putrajaya.

“Arwah tidak pulang ke kampung sempena Aidiladha sebab isteri baru melahirkan anak ketiga, dan mereka merancang berpantang di Putrajaya, jadi saya bawa ibu ke rumah arwah Sabtu lalu untuk melawat isteri dan anak arwah.


“Ketika itu, arwah beritahu akan pulang ke kampung di Sepri, Rembau Negeri Sembilan hujung minggu ini untuk berjumpa ahli keluarga kami, namun hasratnya tidak kesampaian. Arwah meninggalkan kami terlebih dahulu dalam usia muda,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Putrajaya (HPj) di sini, semalam. Selain bayi perempuan yang baru lahir Irisya Dalisha, mangsa turut meninggalkan dua anak yang masih kecil, Isaac Dzarith Fadzli, 4; Iryna Damia, 2 dan balu, Nurul Syima Mohamed, 33. Jenazah disembahyangkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint, 20, di sini, selepas solat Asar. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya Superintendan Mak Pak Chuai mengesahkan kejadian, dan siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki motosikal Kawasaki ZX10 terbabas lalu terjatuh. “Mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dipercayai gagal mengawal motosikal sebaik tiba ditempat kejadian dan melanggar pembahagi jalan,” katanya.

No comments:

Post a Comment