Search This Blog

Friday, October 4, 2013

Keluarga rayu anak pulang

Keluarga rayu anak pulangAbdul Hamid dan isteri menunjukkan laporan polis dan gambar anak perempuannya Noor Suhaila yang hilang sejak 31 Ogos lalu.
TEMERLOH – Seorang pesara tentera merayu anak perempuannya yang hilang sejak lebih sebulan lalu pulang ke rumah kerana sangat bimbangkan keselamatan anaknya itu.

Abdul Hamid Derus, 54, yang tinggal di nombor 6 Jalan 16/2 Taman Setia Jasa di sini juga merayu pihak polis untuk mencari dan membawa pulang anak bongsunya Noor Suhaila, 13, yang keluar rumah bersama dua rakan pada tengah hari 31 Ogos lalu.

Menurutnya, Noor Suhaila tidak pernah bertindak sedemikian. Pada hari kejadian, dia keluar bersama rakan perempuan berumur 13 dan 15 tahun ke bandar Temerloh dengan menaiki teksi.

“Dua rakan anak saya pulang ke rumah masing-masing tetapi Noor Suhaila tidak pulang. Sebelum ini dia tidak pernah buat macam ini, jika dia keluar ke bandar bersama kawan-kawan saya akan mengambilnya pulang pada sebelah petang.

“Bila jadi macam ini, kami sekeluarga buntu, rakan-rakan yang keluar bersama anak saya juga tidak tahu di mana anak saya berada sekarang,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, jika Noor Suhaila dan kawan-kawannya mahu ke bandar Temerloh dia akan menumpangkan mereka dan akan menghantar pulang sehingga ke pintu rumah masing-masing.

Abdul Hamid berkata, dia membuat laporan polis dua hari selepas kejadian dan telah menyerahkan segala maklumat peribadi anaknya serta memberikan juga maklumat berkaitan untuk membantu mengesan anaknya.

Sementara itu isterinya, Jamaliah Muda, 49, berkata, mereka sekeluarga telah melakukan pelbagai ikhtiar termasuk solat hajat dan menggunakan khidmat bomoh bagi mencari anak bongsu daripada empat beradik itu.

Menurutnya, sejak sebulan lalu, dia dan suami telah pergi ke merata tempat termasuk di luar Pahang dan keluar mencari setiap hari hingga jam 3 pagi.

“Kami buat macam ini sebab pihak berkuasa masih gagal cari Noor Suhaila. Kami merayu supaya mereka bantu sebab kami terlalu bimbangkan keselamatan Nor Suhaila.

“Saya tidak pernah meninggikan suara apatah lagi memukul anak saya, kami sekeluarga bingung memikirkan keselamatan dia di luar sana,” katanya.

Jamaliah berharap orang ramai yang mengetahui di mana anaknya berada supaya menghubungi polis atau datang ke rumahnya di alamat nombor 6 jalan 16/2 Taman Setia Jasa di sini.

No comments:

Post a Comment