Search This Blog

Tuesday, October 8, 2013

Keldai dadah warga India ditahan, rampas 3.1 kilogram dadah


PULAU PINANG 7 Okt. - Cubaan seorang keldai dadah wanita warga India menyeludup masuk 3.1 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM680,000 gagal setelah dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini awal pagi ini.
Suspek berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri sebaik sahaja tiba di negeri ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 1 pagi.
Dia sebelum itu menaiki penerbangan dari New Delhi, India.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, hasil pemeriksaan bagasi dibawa suspek yang bekerja sebagai pekerja salon menemukan dadah berkenaan selain sejumlah wang tunai dalam mata wang Amerika Syarikat (AS) dan India yang keseluruhannya bernilai RM1,960.
"Suspek direman sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata, pihaknya turut mematahkan dua kes cubaan memproses dan menyeludup di negeri ini minggu lalu.
Katanya, dalam serbuan JSJN di sebuah kediaman mewah di Sungai Nibong di sini pukul 10.45 malam, pihaknya merampas 5.19 kg dadah jenis heroin dan 60 kg kafein bernilai RM260,000.
"Kita turut merampas sepucuk pistol tanpa jenama dan pelbagai bahan kimia serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
"Pada keesokannya (Sabtu), kita menahan seorang gadis warga Malawi berusia 17 tahun yang disyaki juga keldai dadah di LTAPP serta merampas 4.5 kg syabu bernilai RM1 juta di dalam bagasi miliknya.
"Gadis yang juga pelajar ini telah kita reman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut," katanya dan memberitahu, jumlah keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM2 juta.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131008/je_05/Keldai-dadah-warga-India-ditahan-rampas-31-kilogram-dadah#ixzz2h5BXmLuZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment