Search This Blog

Saturday, October 12, 2013

Kasut jadi petunjuk


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Seorang ibu sanggup bersembunyi di sebalik sebatang pokok kira-kira 50 meter dari rumah rakan anak perempuannya di Kajang, di sini, selama sejam sebelum ‘menangkap’ anaknya yang baru selesai ‘berpesta’ seks di premis berkenaan.

Dalam kejadian bermula kira-kira jam 5.45 petang itu, wanita terbabit dilaporkan terpaksa berbuat demikian selepas rakan perempuan anaknya itu mendakwa remaja berkenaan tiada di rumah terbabit, ketika dia mencarinya.


Menurut sumber, wanita berusia 35 tahun itu mengambil keputusan bersembunyi di kawasan berhampiran kerana yakin anaknya berada di dalam rumah berkenaan selepas menemui kasut remaja terbabit ditinggalkan di pintu masuk.

Menceritakan semula kejadian, sumber itu berkata, wanita terbabit curiga dengan tingkah laku anaknya mengambil keputusan pergi ke rumah rakan remaja berkenaan kira-kira jam 5.45 petang untuk menyiasat.


“Ketika berada di hadapan rumah itu, wanita berkenaan berulang kali memanggil nama anaknya, namun tiada jawapan biarpun melihat kasut digunakan remaja itu berada di hadapan pintu.


“Tidak lama kemudian, rakan perempuan anak mangsa keluar sebelum memberitahu remaja berkenaan tiada di situ,” katanya.

Sumber itu berkata, meragui kenyataan rakan anaknya itu, wanita terbabit berpura-pura beredar sebelum bersembunyi di sebalik sebatang pokok kira-kira 50 meter dari rumah berkenaan.


“Sejam kemudian, anak mangsa keluar daripada rumah itu bersama tiga remaja lelaki dan seorang perempuan,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit segera bergegas mendapatkan anaknya menyebabkan kumpulan remaja itu mula panik.


“Selepas didesak, anak wanita terbabit mengaku melakukan hubungan seks dengan seorang daripada tiga remaja lelaki itu,” katanya sambil memberitahu, rakan anaknya yang lain turut melakukan hubungan seks.


Berikutan itu, wanita terbabit membawa anaknya ke Balai Polis Kajang, di sini, untuk membuat laporan polis.


Remaja terbabit juga dirujukkan ke hospital berhampiran sebelum disahkan ada melakukan hubungan seks. Disebabkan remaja perempuan terbabit masih di bawah umur, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai rogol dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK).


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

No comments:

Post a Comment