HULU TERENGGANU - “Hampir dua jam saya terpaksa duduk menunduk kerana kepala ditutup  gebar dalam keadaan kedua tangan serta kaki diikat.

“Demi keselamatan keluarga, saya tidak melawan dan syukurlah kami selamat,” kata Zakaria Wahab, 32.

Menceritakan detik cemas setelah rumahnya dimasuki empat penyamun bertopeng dan bersenjata dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi malam kelmarin itu, Zakaria bukan sahaja diacukan parang di lehernya sebaik terjaga daripada tidur, tetapi turut kerugian kira-kira RM12,000.

Menurutnya, sebelum kejadian dia bersama isterinya, Intan Fazliana Mohd Razali, 30, serta anak mereka, Mohd Ibnu Azriq, 2 tahun 4 bulan, sedang tidur di bilik utama, manakala ibu mertuanya, Fatimah Mamat, 56, serta neneknya tidur di bilik berasingan.

“Saya terjaga apabila lampu bilik tidur dinyalakan penjenayah. Sekelip mata, salah seorang daripada mereka meluru ke arah saya lalu mengacukan parang di leher serta mengarahkan saya duduk diam-diam serta jangan bising.

“Tak berapa lama kemudian, kedua tangan saya diikat di belakang. Malah, kaki saya juga diikat sebelum mereka tutup muka saya dengan gebar. Hampir dua jam saya bertahan dalam keadaan itu. Malah, ibu mertua dan isteri turut diikat perompak terbabit.

“Semua ahli keluarga kecuali nenek dikumpulkan dalam bilik tidur saya. Saya semakin berdebar apabila anak saya turut terjaga dan merengek kerana bimbang jika penjenayah bertindak di luar jangkaan, syukurlah ketika itu anak saya hanya menangis perlahan,” katanya.

Zakaria berkata, salah seorang penyamun turut mengambil peralatan membancuh susu untuk diberi kepada isteri yang ketika itu belum diikat.

Katanya yang bekerja sebagai pemandu jentera berat itu, seorang daripada penyamun mengawasinya sekeluarga di dalam bilik tidur, manakala tiga lagi menggeledah rumahnya selama hampir dua jam.

“Bukan saja wang tunai berjumlah RM1,500 serta barang kemas termasuk tujuh bentuk cincin serta lapan utas rantai leher, lapan telefon bimbit serta dua utas jam tangan dilarikan, tetapi juga barangan kosmetik dan beberapa kain batik, kain pelekat serta baju.

“Isteri saya dapat buka ikatannya tak berapa lama setelah penjenayah keluar lalu minta bantuan jiran. Mereka pecah masuk ke dalam rumah melalui pintu di bahagian dapur yang telah pun dipasang gril.

“Malah, saya percaya kegiatan ini dilakukan lebih daripada empat orang memandangkan ada sebuah kereta datang ambil mereka di pekarangan rumah setelah selesai menggeledah. Laporan dibuat di Balai Polis Ajil kira-kira jam 9 pagi semalam (kelmarin),” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi kesalahan samun bersenjata dan berkumpulan.