Search This Blog

Tuesday, October 29, 2013

India laluan seludup dadah

India laluan seludup dadahNoor Rashid (tengah) menunjukkan sepucuk pistol yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang media tiga rampasan dadah berasingan di Bukit Aman. - Foto Azmaidi Abidin 

Kuala Lumpur: India dipercayai menjadi pintu utama sindiket dadah antarabangsa bagi menyeludup masuk bahan terlarang berkenaan ke negara ini melalui penerbangan dan perkhidmatan kiriman cepat.

Bagaimanapun, modus operandi itu dapat dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, selepas berjaya merampas syabu dalam dua serbuan berasingan selain menahan seorang lelaki berperwatakan wanita Vietnam di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, pada Jumaat lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata lelaki itu menaiki penerbangan dari New Delhi - Kuala Lumpur, sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan, melalui kaedah sama.


Katanya, sebaik suspek tiba di lapangan terbang di Kuantan kira-kira jam 7.55 malam sekumpulan anggota JSJN menahannya bagi pemeriksaan lanjut.

Rampas syabu

“Hasil pemeriksaan, kami merampas 2.99 kilogram (kg) syabu yang disembunyikan di dalam ruangan begnya yang diubahsuai, turut dirampas sejumlah mata wang India, Vietnam dan Amerika Syarikat (AS),” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini semalam.

Katanya, dalam serbuan berikutannya, pihaknya merampas sebuah beg pakaian yang tidak dituntut di lapangan terbang sama pada jam 10.13 malam dan pemilik beg itu didapati menaiki penerbangan dari Chennai – Kuala Lumpur – Kuantan.
Beliau berkata, pihaknya merampas 3.10 kg syabu di dalam beg berkenaan dan kini pihaknya sedang giat mengesan pemilik beg itu yang dipercayai melarikan diri.

Katanya, hasil risikan pihaknya mendapati sindiket dadah antarabangsa cenderung menggunakan India sebagai laluan penyeludupan membawa dadah ke negara ini.

Tiga suspek ditahan

“Kami percaya sindiket itu turut menggunakan lapangan terbang kecil sebagai taktik baru mengelirukan pihak berkuasa kerana mereka tahu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikawal ketat,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihaknya turut menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah tempatan apabila berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang wanita dalam satu pemeriksaan berhampiran Jalan Rimbunan, Kepong, di sini, pada Khamis lalu.

“Pemeriksaan terhadap kereta Toyota Supra dan Proton Gen 2 itu, kami merampas 501 gram syabu, dua pistol jenis kaliber 30 Mauser Norinco dan Smith and Wesson, 12 butir peluru, barangan kemas dan wang tunai RM263,841 daripada suspek,” katanya.

Semua suspek termasuk lelaki Vietnam, yang berumur 25 hingga 31 tahun itu, ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan rampasan dadah bernilai RM1.3 juta.

No comments:

Post a Comment