Search This Blog

Saturday, October 12, 2013

Hospital terbakar, 8 pesakit terbunuh


Seorang anggota bomba memanjat tangga bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kebakaran, sementara beberapa orang rakannya yang lain bertungkus-lumus memadamkan api di sebuah hospital ortopedik, di Fukuoka, selatan Jepun, semalam. - AGENSI
TOKYO 11 Okt. - Kira-kira 10 orang termasuk lapan warga emas, terbunuh dalam satu kebakaran di sebuah hospital di barat daya Jepun, hari ini ketika pesakit sedang nyenyak tidur, mencetuskan desakan penilaian keselamatan diadakan di semua hospital di seluruh negara ini.
Polis berkata, kebakaran yang bermula awal pagi ini turut menyebabkan lima orang cedera.
Kebakaran yang berlanjutan kira-kira dua jam itu, bermula pada kira-kira pukul 2.20 pagi waktu tempatan (3.20 pagi waktu Malaysia) di bangunan empat tingkat tersebut yang dibuka sebagai hospital ortopedik pada 1970.
Seorang pegawai bomba berkata, kebakaran bermula di tingkat bawah hospital itu.
Liputan stesen penyiaran, NHK merakamkan anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di hospital di Fukuoka itu, ketika asap tebal kelihatan keluar dari pintu masuk bangunan tersebut.
Jurucakap polis tempatan mengesahkan 10 orang termasuk dua orang pekerja dan lapan pesakit maut dalam kejadian itu.
''Dua kakitangan itu merupakan bekas pengarah hospital berkenaan dan isterinya,'' katanya.
Polis berkata, mereka yang terbunuh berumur antara 70 dan 89 tahun.
Menurut seorang pegawai bomba tempatan, kakitangan hospital itu tinggal di tingkat atas bangunan berkenaan.
''Kami menerima panggilan berhubung kebakaran itu, ketika kebakaran telah lama berlaku dan tiada sebarang cubaan untuk menangani kebakaran pada peringkat awal,'' katanya.
Seorang pegawai berkata, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131012/lu_05/Hospital-terbakar-8-pesakit-terbunuh#ixzz2hTJxA3d9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment