Search This Blog

Tuesday, October 15, 2013

Heroin, pil kuda dalam bekas makanan ringan


Tumpat: Seorang lelaki yang mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau sekali lagi ditahan polis di rumahnya di Kampung Geting, Pengkalan Kubor, di sini, menerusi Ops Cantas Khas/Ops Tapis, kelmarin.

Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, suspek berusia 31 tahun pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika polis melakukan pemeriksaan di sekitar rumahnya.


Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, pemeriksaan ke atas badan suspek gagal menemui sebarang bahan menyalahi undang-undang.

Katanya, polis bagaimanapun menemui satu bekas makanan ringan mengandungi lima peket plastik warna biru berisi 1,000 biji pil warna kemerahan bertanda WY disyaki pil kuda di sebuah rak berhampiran suspek.


“Polis turut menemui empat plastik cerah mengandungi 65 pil sama dan satu botol bertudung kuning mengandungi serbuk putih disyaki heroin serta enam peket plastik cerah mengandungi hablur jernih disyaki syabu.


“Semua dadah yang dirampas bernilai kira-kira RM30,000.

“Turut dirampas sebuah motosikal yang bahagian casisnya didapati ada kesan kimpalan dan dilaporkan hilang sebelum itu,” katanya pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin, di sini, kelmarin.


Mazlan berkata, suspek yang tidak bekerja juga disahkan positif methamphetamine berdasarkan ujian saringan air kencing dilakukan.

Katanya, daripada rekod yang disemak, suspek pernah mempunyai rekod mengikut Seksyen 379 dan 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

No comments:

Post a Comment