KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pelajar Tahun Dua Dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk pulang ke kampung halaman tidak kesampaian apabila dia maut setelah terlibat dalam satu kemalangan, awal pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Afiq Shaari Rusdi, 20 yang merupakan pelajar jurusan Teknologi Maritim beralamat di Bandar Baru Permas Johor, yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja semasa kejadian dipercayai ingin menghantar motosikalnya di rumah seorang rakan di Kampung Pak Tuyu, Gong Badak.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 pagi apabila motosikal yang ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan di Kampung Pak Tuyu

“Mangsa ingin membelok ke kanan jalan untuk memasuki lorong rumah kawannya di Kampung Pak Tuyu dan pada masa yang sama sebuah kereta dari arah Batu Rakit telah melanggar motosikal mangsa yang membelok ke arah Tok Jembal.

“Bagaimanapun semasa kejadian mangsa masih hidup dan terus dihantar Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal jam 10.40 pagi pada hari sama akibat kecederaan serius, dan mayat mangsa dituntut keluarga pada jam 5 petang, semalam.
Sementara itu, pemandu kereta terlibat hanya mengalami kecederaan di bibir, lebam di kedua-dua belah tangan dan kaki kanan.