Search This Blog

Tuesday, October 8, 2013

Guna kereta mewah


Oleh Yusri Abdul Malek, Amir Abd Hamid, Salman Hamat, Fardy Bungga, Adnan Mohamad dan Zuliaty Zulkiffli

Kota Bharu: Bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelak dikesan, sindiket penyeludupan rokok putih di negeri ini sanggup menggunakan kenderaan mewah seperti Toyota Alphard dan Toyota Vellfire ketika membawa rokok itu dari satu tempat ke tempat lain.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan Rusli Karim berkata, dalam kes sebelum ini penggunaan kenderaan mewah seumpamanya juga didapati bercermin gelap sebagai helah sindiket yang mungkin yakin pihak berkuasa tidak memeriksa kenderaan berstatus tinggi.


Beliau berkata, sindiket penyeludupan rokok itu dipercayai didalangi individu berpengaruh tertentu yang bertanggungjawab mengedarkan rokok berkenaan sehingga ke kawasan pedalaman berikutan permintaan tinggi dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah.

“Dalam kes sebelum ini, ada penyeludup menggunakan kenderaan mewah seperti Toyota Alphard dan Toyota Vellfire yang bercermin gelap bagi mengelak dikesan.


“Ada kes penyeludup menggunakan kenderaan niaga yang bertutup rapat seolah-olah membawa barangan sejuk beku. Sekali imbas sekiranya tidak diperiksa dengan lebih teliti, mereka mungkin terlepas daripada pihak berkuasa.


“Selain keretek, rokok putih tidak sah dan tiruan yang dijual kurang RM4 sekotak amat laris dan penyeludup menggunakan pelbagai helah untuk menyeludup bagi memastikan produk sampai ke destinasi. Namun taktik sindiket nyata berjaya kita kesan,” katanya.

Rusli berkata, sejak Januari lalu hingga Ogos tahun ini, UPP Kelantan mencatatkan enam kes rampasan rokok membabitkan 552 kotak bernilai RM809,789 dan semua rokok itu dipercayai dibawa masuk dari luar sama ada dari Pantai Barat atau melalui jalan laut dari negara jiran.


Menurutnya, pada 2012, sebanyak tujuh kes dicatatkan membabitkan rampasan rokok, tetapi nilainya hanyalah RM67,447.

Selain itu, pihaknya mendapati penyeludup lebih suka menyimpan bekalan rokok tidak sah, seludup dan tiruan di dalam rumah kosong atau rumah tanpa penghuni yang disewa khas.


“Penyeludup akan datang mengambil bekalan pada waktu malam untuk diedarkan kepada pekedai runcit.


“Setakat ini, harga bagi sekotak rokok dijual antara RM3 hingga RM4. Bagaimanapun, harga antara sesebuah kedai dengan yang lain berbeza bergantung kepada dari mana bekalan itu diperoleh,” katanya.


Rusli berkata kes rampasan rokok disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang-barang larangan.


“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda antara 10 hingga 20 kali ganda duti kastam atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

No comments:

Post a Comment