Search This Blog

Tuesday, October 8, 2013

Gores dan menang: Dua individu ditahan


8 Oktober 2013
IPOH - Polis menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan 'gores dan menang' ketika sedang memperdaya seorang mangsa di depan sebuah bank di Ipoh Garden, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt Maszely Minhad berkata suspek, seorang seorang wanita berusia 25 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, ditahan pada 3.15 petang.

"Sindiket itu menyasarkan kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat membeli-belah atau di depan bank," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata mangsa ditawar hadiah berupa barangan elektrik namun perlu membayar sejumlah wang untuk menebusnya.

"Mereka akan membawa mangsa ke pejabat untuk mengambil hadiah dan meminta mangsa membayar sejumlah wang untuk menuntut hadiah yang lebih lumayan, dan mangsa akan diugut jika tidak menerima tawaran tersebut," katanya.

Maszely berkata barangan yang diberi itu tidak berkualiti dan tidak sepadan dengan jumlah wang yang diserah oleh mangsa.

"Mangsa diperdaya kononnya barang yang ditawarkan itu bernilai RM3,000 tetapi harga sebenar barangan elektrik itu tidak sampai RM1,000," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment