Search This Blog

Wednesday, October 9, 2013

Geng samun ditahan polis

Geng samun ditahan polisMohd Mokhtar menunjukkan barang-barang yang dirampas polis dalam serbuan yang dilakukan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua lelaki terbabit ditahan susulan maklumat diterima pihaknya berhubung kejadian samun berlaku di hadapan bangunan JB Waterfront di Jalan Selat Tebrau, di sini.

“Polis menerima maklumat menyatakan satu kejadian samun telah berlaku sekitar jam 6 pagi. Dalam kejadian ini, empat lelaki bersenjatakan parang telah menyamun mangsa dan melarikan teman wanita mangsa.

“Selain samun dan melarikan wanita terbabit, kumpulan ini juga turut terlibat dalam kejadian pecah rumah di Majidee diikuti samun di kedai serbaneka 24 jam.

“Bagaimanapun, bertindak atas maklumat, pada jam 7.15 petang, polis telah membuat serbuan di sebuah hotel bajet dan berjaya menahan empat lelaki terbabit kerana disyaki terlibat dalam kes ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini semalam.

Mohd Mokhtar berkata, dalam serbuan itu, polis berjaya menemui semula teman wanita yang dilarikan suspek dan merampas pelbagai barang.

“Antara barang yang dirampas adalah tujuh telefon bimbit, 40 biji pil dipercayai eramin 5, sepaket ‘substance’ dipercayai syabu bersama peralatan menghisap syabu, 212 unit kad prabayar dan sebuah kereta bersabit laporan di Tampoi.

“Selain itu, polis juga merampas empat parang, dua pisau dapur, seunit ‘crowbar’, seunit ‘cutter’ dan sebuah motosikal dilaporkan hilang bersabit repot di Taman Pelangi,” katanya.

Katanya, kesemua suspek tiada rekod jenayah lampau dan ditahan reman selama enam hari sehingga 12 Oktober ini.
Beliau memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun berserta sebatan.

“Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tujuh tahun dan denda.

“Kejayaan ini membolehkan pihak polis menyelesaikan 16 kes samun dan tujuh kes pecah rumah di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan,” katanya.

Mohd Mokhtar menasihatkan orang ramai supaya tidak berada di kawasan yang sunyi bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah.

No comments:

Post a Comment