Search This Blog

Tuesday, October 8, 2013

Geng Ismail Myanmar



Melaka: Empat lelaki warga Myanmar berputih mata apabila bukan saja tidak sempat menikmati hasil samun membabitkan seorang peniaga barang kemas dan batu permata bernilai RM100,000, malah mereka turut dicekup 27 jam selepas melakukan jenayah itu dalam dua serbuan berasingan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, keempat-empat mereka melakukan samun bersenjata ke atas seorang lelaki Myanmar berusia 37 tahun yang ketika itu sedang tidur di rumah bersama tiga anak saudara lelakinya berusia 15 hingga 18 tahun di Taman Seri Telok Mas, Telok Mas, di sini, jam 1.30 pagi, Jumaat lalu.
Menurutnya, ketika kejadian semua mangsa diikat sebelum keempat-empat penjenayah itu menyelongkar kediaman berkenaan dan melarikan barang kemas, wang tunai serta barang berharga milik mangsa.

“Hasil laporan dibuat mangsa, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Sungai Putus, Klang, Selangor, jam 10.45 malam pada hari sama dan menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang juga ketua kumpulan dikenali sebagai Geng Ismail.

Foto
RAJA Shahrom (kanan) menunjukkan rantai emas hasil rampasan pada sidang media, semalam.

Foto
ANTARA barangan samun yang dirampas dalam serbuan.

“Ketika disoal siasat, suspek mengaku merancang dan melakukan samun ke atas mangsa.


“Susulan penahanan itu, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah apartment di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur, jam 5 pagi keesokan harinya dan menahan tiga lelaki Myanmar berusia 19 hingga 22 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, timbalannya Superintendan PR Gunarajan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah Deputi Superintendan Gan Chip Pho dan Pegawai Risikan/Operasi IPD Melaka Tengah Asisten Superintendan Koh Teck Chew.

Raja Shahrom berkata, siasatan awal mendapati ketua kumpulan berkenaan mempunyai kad pengenalan bertaraf penduduk tetap, manakala tiga yang lain tidak mempunyai pengenalan diri dipercayai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian.

“Hasil serbuan di apartmen berkenaan, kami merampas 20 telefon bimbit pelbagai jenama, cincin (57), rantai emas (23), keris (4), gelang tangan (9), plet berbentuk bulat (9), pedang samurai (1) dan topeng muka (1).

“Kami percaya semua barang kemas berkenaan hasil samun dilakukan ke atas mangsa, malah kumpulan ini juga dipercayai giat melakukan kegiatan samun di sekitar Cheras dan Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

No comments:

Post a Comment