Search This Blog

Tuesday, October 29, 2013

Gelabah dadah terjatuh


Kuala Lumpur: Taktik seorang wanita warga emas menjatuhkan kunci motosikal bersama sepeket dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tidak menjadi apabila aksi terbabit disedari jurukamera Harian Metro yang sedang membuat liputan Operasi Jejantas di Jalan Tun Tan Cheng Lock berhampiran Kompleks Kotaraya, di sini, semalam.
Difahamkan, wanita berusia 63 tahun itu ditahan selepas motosikal ditunggang bersama seorang lelaki yang juga rakan sekerjanya tidak memiliki lesen dan cukai jalan tamat tempoh.
Namun, ketika anggota sedang mengambil butiran lengkap untuk mengeluarkan saman, lelaki berusia 35 tahun itu sempat menyerahkan sepeket kecil bahan yang disyaki dadah kepada wanita terbabit sebelum bahan itu terjatuh.

Pegawai Penguat kuasa Operasi Trafik Kuala Lumpur Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, wanita berkenaan sengaja menjatuhkan kunci motosikal berkenaan bertujuan mengambil bahan yang disyaki dadah itu sebelum cuba menyembunyikan.
Foto
AZMI memegang bungkusan kecil dipercayai dadah ketika menjalankan Operasi Jejantas yang dijalankan Trafik Kuala Lumpur, semalam.

“Namun, tindakan suspek disedari jurukamera yang sedang membuat liputan sebelum memberitahu anggota bertugas bagi melakukan pemeriksaan rapi ke atasnya

“Hasil pemeriksaan, polis berjaya menemui sepeket kecil bahan berisi dadah daripada wanita berkenaan. Selepas disoal siasat, wanita ini mendakwa ia milik lelaki berkenaan yang akhirnya mengaku berbuat demikian kerana takut ditahan polis,” katanya yang ditemui di lokasi berkenaan semalam.

Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Tun HS Lee untuk siasatan lanjut.

Operasi yang bermula jam 11 pagi dan berakhir jam 1 tengah hari itu turut membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Beliau berkata, selain mengenakan tindakan terhadap pejalan kaki yang tidak menggunakan jejantas, anggota penguat kuasa turut mengeluarkan 60 saman terhadap pemandu dan penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen, cukai jalan tamat tempoh, motosikal tidak mempunyai cermin sisi serta berhenti di atas petak kuning.

No comments:

Post a Comment