Search This Blog

Saturday, October 26, 2013

Filipina perlu AS$46.8 juta bantu mangsa gempa bumi


PENDUDUK kampung melihat sebuah gereja yang rosak teruk akibat gempa bumi kuat yang melanda Pulau Bohol, tengah Filipina pada 15 Oktober lalu.


MANILA - Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam merayu bantuan antarabangsa berjumlah AS$46.8 juta (RM147 juta) untuk membantu beratus-ratus ribu penduduk yang tinggal di khemah-khemah sementara selepas Filipina digegarkan oleh gempa bumi kuat baru-baru ini.
Gempa berukuran 7.1 pada skala Ritcher yang melanda pada minggu lalu meragut lebih 200 nyawa selain meranapkan 54,000 kediaman di Bohol dan beberapa buah pulau lain di tengah Filipina.
Penyelaras kemanusiaan PBB di Filipina, Luizha Carvalho berkata, sejumlah 35,000 keluarga memerlukan tempat perlindungan segera manakala lebih 300,000 penduduk Pulau Bohol pula merayu bantuan keperluan asas seperti air, makanan, dan perkhidmatan kesihatan selama 6 bulan.
"Pada masa ini, Filipina berdiri sendiri walaupun keperluannya adalah yang paling terdesak," kata Carvalho.
Wakil PBB itu berharap penderma akan terus menghulurkan wang di sebalik peningkatan bencana alam dan konflik buatan manusia yang melanda Filipina.
Pada Disember lalu, Filipina dilanda taufan kuat manakala serangan gerila Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro menyebabkan sebahagian kawasan di bandar raya Zamboanga, selatan negara itu musnah pada bulan lalu.
"Kami berturut-turut ditimpa malang dan kami masih mengharapkan kemurahan hati penderma," ujar Carvalho.
Menurutnya, PBB meminta masyarakat antarabangsa untuk terus menolong Filipina walaupun mereka telah menghulurkan bantuan untuk mangsa Taufan Bopha dah konflik berdarah di Zamboanga. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2ilqLY0SV 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment