Search This Blog

Tuesday, October 8, 2013

Empat warga Myanmar dicekup


Raja Shahrom Raja Abdullah (tiga dari kiri) menunjukkan barangan yang disamun oleh kumpulan Ismail dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, semalam.
MELAKA 7 Okt. - Anggota kumpulan Ismail yang terdiri daripada empat warga Myanmar terpaksa berputih mata apabila hasil rompakan bernilai lebih RM100,000 tidak sempat dibelanjakan selepas dicekup polis dalam tempoh kurang 24 jam, Sabtu lalu.
Mereka yang berusia antara 19 hingga 22 tahun itu dicekup selepas polis mendapat laporan rompakan ke atas seorang peniaga batu permata yang merupakan warga Myanmar di sebuah rumah di Taman Seri Emas, Telok Mas di sini Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kesemua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di dua rumah masing-masing di Cheras, Kuala Lumpur dan Klang, Selangor, Sabtu lalu.
Menurutnya, ketika kejadian, kesemua suspek dipercayai memasuki rumah mangsa pada pukul 1.30 pagi dan bertindak mengikat mangsa serta tiga anak saudara mangsa.
"Serbuan ke atas sebuah rumah di Sungai Putus, Klang pada pukul 10.45 malam membawa kepada penahanan ketua kumpulan itu yang bernama Ismail.
"Hasil penahanan Ismail, polis telah bertindak menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Shamelin Perkasa, Cheras pada pukul 1.30 pagi yang membawa kepada tiga lagi anggota kumpulan itu.
"Polis turut merampas barangan yang dirompak berupa 57 bentuk cincin, 27 utas rantai leher pelbagai jenis dan bentuk, empat bilah keris, sembilan urat gelang tangan, lima buah plat berbentuk bulan, sebilah pedang samurai dan 20 telefon bimbit pelbagai jenama yang kesemua bernilai lebih RM100,000," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.
Raja Shahrom berkata, polis percaya kesemua barangan yang dirampas merupakan milik peniaga Myanmar itu manakala 20 telefon bimbit tersebut adalah hasil rompakan kumpulan itu di sekitar ibu kota.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan menggunakan senjata.
Tambahnya, siasatan awal mendapati Ismail, 22, mempunyai kad pengenalan bertaraf penduduk tetap (PR) manakala tiga lagi anggota kumpulan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131008/je_02/Empat-warga-Myanmar-dicekup#ixzz2h5AjFrat
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment