Search This Blog

Tuesday, October 8, 2013

Duit korban Palestin RM35,000 lesap

Tan Ah Chua
Tan Ah Chua


SHAH ALAM - Wang tunai berjumlah RM35,000 yang sepatutnya digunakan untuk majlis korban di Palestin bersempena Aidiladha lesap, selepas dilarikan tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah terkenal di Bandar Sunway, Subang Jaya, petang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, dua lelaki yang merupakan pekerja kepada penceramah bebas Ustaz Muhammad Abdullah, 37, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin yang popular melalui sebuah program televisyen tempatan ‘Tanyalah Ustaz’, dikatakan baru sahaja tiba di kawasan letak kereta di situ.

Menurut sumber, kereta dua mangsa itu tiba-tiba dihalang  sebuah kenderaan lain jenis Lexus berwarna hitam.

Beliau berkata, terdapat tiga lelaki yang memakai topi dengan lambang polis turun dari kereta berkenaan dan menghampiri kedua-dua mangsa, sebelum memperkenalkan diri sebagai polis.

Menurutnya, seorang daripada kumpulan lelaki itu kemudiannya memaksa mangsa untuk masuk ke dalam kenderaan mereka, sebelum merampas wang tunai RM35,000 yang dibawa.

“Ketika berada dalam kereta, seorang daripada kumpulan lelaki itu meletakkan kapak di muka mangsa sebagai ugutan.

“Penjenayah itu kemudiannya mengikat kedua-dua tangan mangsa ke belakang, sebelum menutup mata mereka dengan topeng,” katanya.

Katanya, selepas hampir setengah jam berada dalam kenderaan penjenayah itu, kedua-dua mangsa kemudiannya ditinggalkan berhampiran kilang simen di Kampung Sungai Penchala. Damansara.

Menurutnya, kedua-dua mangsa berusia 19 dan 24 tahun itu kemudiannya mendapatkan bantuan orang awam di kawasan terbabit, sebelum dibawa ke balai polis.

Sumber berkata, kedua-dua mangsa pergi ke pusat beli-belah berkenaan untuk menukar wang yang dilarikan sebelum dibawa ke Palestin untuk tujuan ibadah korban.

Katanya, wang itu sepatutnya digunakan untuk membiayai 105 sukarelawan misi bantuan ke Masjidil Al-Aqsa, Palestin serta membeli 10 ekor lembu yang akan dikorbankan di sana.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 kanun keseksaan.

No comments:

Post a Comment