Search This Blog

Saturday, October 12, 2013

Dua suspek pernah terbabit kes samun


2013/10/12
 
Ipoh: Dua daripada tiga suspek yang ditembak mati oleh polis dalam kejadian berbalas tembakan di Bandar Meru Raya di sini pagi kelmarin, dikenal pasti pernah terbabit dalam kes samun bersenjata api.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata dua suspek itu dikenali sebagai S Suntheram Pillai, 33, dari Jalan Kemaman, Kampung Taram dan SR Rangayan, 25, dari Lintang Wing Onn, Taman Wing On, di sini.
“Suntheram Pillai terbabit dalam kes samun mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, manakala Rangayan direkodkan terbabit dalam kes mengikut Seksyen 395 dan 397 kanun sama.


Tiada rekod jenayah

“Seorang lagi suspek dipercayai pemandu PROTON Waja yang terbabit dalam kes itu dikenali, Chan Fook Keong, 26, dari Taman Sri Muda, Shah Alam, tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.05 pagi kelmarin, sekumpulan empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol, menyamun barangan kemas dianggarkan bernilai RM1.8 juta dari kedai berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Meru Bestari B5.
Namun, kumpulan itu tidak sempat menikmati hasil rompakan apabila tiga daripada mereka ditembak mati, manakala seorang lagi berhasil melarikan diri ke kawasan ladang sawit berhampiran selepas berbalas tembakan dengan polis.

Acryl Sani berkata, polis masih mengesan seorang lagi suspek yang berhasil melarikan diri dalam kejadian itu.

“Polis tidak menolak kemungkinan kes itu adalah jenayah terancang berikutan ia membabitkan jumlah rompakan yang besar. Hasil kerjasama orang awam dan tindakan pantas polis, berjaya menumpaskan kegiatan jenayah mereka,” katanya.

"Siasatan awal mendapati, empat suspek tidak terbabit dalam mana-mana pertubuhan haram," katanya.

No comments:

Post a Comment