Search This Blog

Saturday, October 26, 2013

Dua pegawai tentera cedera ditembak askar simpanan


NASHVILLE, Tennessee 25 Okt. - Seorang anggota Pengawal Nasional, semalam menembak dua pegawai atasan di sebuah gudang senjata di luar kemudahan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Millington, di sini.
Ketua Polis Millington, Rita Stanback berkata, kedua-dua pegawai itu mengalami kecederaan di kaki.
Timbalan Ketua Turus Pengawal Nasional Tennessee, Mejar Jeneral Terry Haston berkata, anggota itu menembak seorang pegawai berpangkat sarjan mejar dan mejar ketika mereka berbincang tentang polisi dan prosedur pentadbiran.
Beliau berkata, suspek yang identiti masih belum diketahui, ditahan oleh kakitangan Pengawal Nasional sebelum polis tiba di tempat kejadian.
Laman web stesen televisyen tempatan, FOX13 melaporkan, suspek bertindak melepaskan tembakan tersebut selepas dia digantung tugas atas sebab yang tidak dinyatakan.
"Selepas menerima makluman dia digantung tugas, suspek pergi ke keretanya dan mengambil sepucuk pistol sebelum melepaskan tembakan ke arah mangsa dalam kejadian pada kira-kira pukul 12 tengah hari itu,'' lapor FOX13.
Ketua Jabatan Bomba Millington, Gary Graves berkata, kejadian itu berlaku di dalam gudang senjata Pengawal Nasional berdekatan kemudahan Aktiviti Sokongan Pertengahan-Selatan Tentera Laut.
Tentera Laut AS berkata, kemudahan tersebut yang menguruskan rekod kakitangan ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga, namun arahan itu telah ditarik balik.
Kejadian itu berlaku kira-kira sebulan selepas seorang pekerja kontrak melepaskan tembakan di Limbungan Tentera Laut Washington pada 16 September lalu yang menyebabkan 12 orang maut. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131026/lu_03/Dua-pegawai-tentera-cedera-ditembak-askar-simpanan#ixzz2ioo4QJI9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment