Search This Blog

Tuesday, October 15, 2013

‘Daun lalok’ sara hidup


Jitra: Permintaan tinggi terhadap daun ketum menyebabkan sepasang suami isteri menjadikan kerjaya sebagai peraih daun berkenaan sebagai sumber rezeki berikutan mampu memperoleh pendapatan kasar mencecah RM15,000 sebulan bagi menyara enam anak yang masih kecil.

Bagaimanapun, kegiatan pasangan itu terbongkar selepas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu diketuai Inspektor Mohd Ridzuan Salleh menyerbu rumah mereka Kampung Pida 6 Lama, Kodiang, dekat sini, selepas menerima maklumat awam.


Dalam serbuan jam 1.20 pagi semalam, pihak polis menemui 653 bungkus daun ketum seberat 98 kilogram (kg) bernilai RM2,000 dan menahan seorang wanita yang juga suri rumah berusia 37 tahun untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, suami wanita itu berusia 40-an tiada di rumah dan dia pernah ditahan kerana melakukan kesalahan sama pada tahun lalu termasuk dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh mahkamah, tetapi masih tidak serik untuk terus melakukan kegiatan berkenaan bagi mengaut keuntungan lumayan.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Ibrahim Mohd Yusof berkata, ketika serbuan, sepasukan anggota polis mendapati sebuah pikap bernombor pendaftaran Thailand di parkir di tepi rumah berkenaan dan menemui suspek wanita di dalam rumah berkenaan.


Menurutnya, anggota polis menemui bungkusan plastik lutsinar dan satu beg plastik hitam mengandungi bungkusan daun ketum siap dibungkus kecil ketika melakukan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui empat beg plastik hitam dan satu guni plastik di hadapan pintu rumah itu berisi daun ketum yang siap dibungkus.


“Anggota polis turut menemui beberapa bungkusan plastik lutsinar mengandungi daun ketum dalam pikap terbabit yang dipercayai untuk dihantar kepada pembeli di Thailand,” katanya pada sidang media di IPD Kubang Pasu, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kubang Pasu Asisten Superintendan Ishak Ali.


Ibrahim berkata, suspek dipercayai membeli daun ketum itu daripada penduduk kampung berhampiran pada harga RM10 bagi satu kg dan menjualnya pada harga RM20 kepada pelanggan dalam kalangan warga Thailand yang datang mendapatkan bekalan.


Menurutnya, berdasarkan siasatan awal kegiatan itu sudah dilakukan suspek sejak lebih dua tahun lalu dengan menjadikan ia sebagai perniagaan keluarga bagi menyara kehidupan seharian mereka.

No comments:

Post a Comment