Search This Blog

Wednesday, October 9, 2013

Curi perabot keluarga lunas hutang ceti haram


Miri: Gara-gara gagal melunaskan pinjaman ceti haram, seorang lelaki mengambil jalan mudah dengan menjual pelbagai peralatan elektrik dan perabot rumah milik keluarganya sejak beberapa bulan lalu sebelum perbuatan itu terbongkar menyebabkan dia ditangkap kelmarin.

Lelaki berusia 33 tahun yang tidak bekerja itu ditahan di rumahnya, di Pujut 2, di sini, jam 10.45 malam oleh sepasukan polis selepas menerima laporan dibuat kakaknya.


Difahamkan, kehilangan pelbagai peralatan elektrik dan perabot dalam rumah itu sejak beberapa bulan lalu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penghuni sebelum perkara itu terbongkar apabila suspek dikesan mengiklankan barangan yang mahu dijual menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Menurut sumber, berang dengan tindakan suspek, kakaknya berusia lingkungan 30-an cuba mendapatkan penjelasan daripada adiknya itu sehingga mencetuskan pertengkaran.


Namun, katanya, suspek mengakui dia berbuat demikian kerana mahu menggunakan wang hasil jualan barangan berkenaan untuk membayar hutang ceti haram.


“Beberapa barangan seperti periuk nasi elektrik, pemanas air, televisyen dan kerusi rehat dipercayai dijual suspek dengan harga murah dengan mengiklankannya di laman sosial Facebook,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, selain menahan suspek pihaknya turut merampas seunit telefon bimbit yang mempunyai rekod urusan jual beli serta kunci rumah terbabit.


Katanya, suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Curiperabotkeluargalunashutangcetiharam/Article/index_html#sthash.TxIrGVYx.dpuf

No comments:

Post a Comment