Search This Blog

Tuesday, October 15, 2013

Cek tambah angka



Kuala Lumpur: Seorang kontraktor terkejut apabila mendapati sekeping cek bernilai RM20 yang dikeluarkan atas nama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bertukar menjadi RM12,000 tanpa pengetahuannya.

Mangsa, Wong Choong Leong, 46, menyedari perkara itu selepas menyemak akaun bank miliknya pada 26 September lalu sebelum disahkan pihak bank ia ditunaikan sebuah syarikat swasta dengan nilai berkenaan.


“Memang saya ada mengeluarkan tiga cek untuk menderma kepada NGO dan badan kebajikan tertentu sempena sambutan hari lahir anak perempuan saya, malah perkara itu sudah saya lakukan sejak 10 tahun lalu.

“Ketiga-tiga cek berkenaan masing-masing bernilai RM20, saya kirimkan kepada alamat mereka melalui pos pada 3 September lalu,” katanya dalam sidang media di pejabat MCA, di sini, semalam.


Menurut Wong, seminggu selepas itu, dia menerima panggilan telefon daripadapihak bank yang ingin mendapatkan pengesahan mengenai pengeluaran sebanyak RM8,264 kepada seorang individu.


“Saya menafikan perkara itu dan mengaku tidak mengenali lelaki berkenaan, sekali gus bank membatalkan urusan tuntutan cek berkenaan.

“Saya mula rasa tidak sedap hati dan segera menyemak akaun bank. Sangkaan saya tepat apabila wang saya lesap RM12,000,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Petaling.


Wong berkata, dia kemudian membuat aduan kepada Biro Aduan Awam MCA selepas berasa curiga dengan tindakan bank yang meluluskan tuntutan itu tanpa meminta pengesahan daripada pemilik akaun.

Pengerusinya, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya mahu Bank Negara Malaysia (BNM) atau bank yang berkenaan menyiasat perkara itu yang kemungkinan membabitkan ‘orang dalam’ sehingga cek itu sewenang-wenangnya diubah seperti cek asal.


“Kami juga mahu pihak polis menyiasat perkara ini kerana semua maklumat pada cek berkenaan sudah ditukar dan hanya tanda tangan pemilik dikekalkan,” katanya.


Menurut Michael, berdasarkan statistik aduan yang diterima sejak 2010, pihaknya sudah menerima tujuh kes membabitkan pemalsuan cek dengan jumlah kerugian sebanyak RM62,000.

No comments:

Post a Comment