Search This Blog

Tuesday, October 8, 2013

Boleh untung 100 peratus



Kuala Lumpur: Keuntungan lebih 100 peratus yang ditawarkan sindiket penyeludupan rokok putih tidak sah, seludup dan tiruan menarik minat perokok tegar untuk mengedar rokok berkenaan sama ada dalam kalangan rakan sendiri, rakan sepejabat, jiran atau saudara-mara.

Bermula dengan membeli satu karton rokok yang ditawarkan pada harga RM14 untuk rokok putih jenama tertentu, mereka yang menjualnya boleh memperoleh hingga RM30 sekarton. Perolehan lumayan itu mendorong mereka yang baru berjinak dalam pengedaran rokok berkenaan menjadikan kegiatan itu sebagai sumber pendapatan utama. Seorang penghisap rokok murah tidak sah itu yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri, 20-an, berkata, dia dua kali pernah ditawarkan menjual rokok berkenaan ketika berada di sebuah kompleks beli-belah di Shah Alam dan di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya.


“Lelaki itu (dipercayai ejen) tanya: ‘Selalu ke beli rokok ini (rokok putih tidak sah). Kalau nak duit lebih bolehlah kau ‘part time’ jual rokok. Satu karton aku tolak RM14 dan kau boleh jual balik di pasaran sehingga lebih RM30 satu karton.” “Bagaimanapun, saya menolak tawaran lelaki berkenaan sebab bimbang ditahan pihak berkuasa. Saya hanya beli rokok untuk dihisap sendiri bukannya untuk jadi penjual,” katanya yang beralih menghisap rokok murah pada 2006 sehingga kini.

Menurutnya, selain harga yang lebih murah, dia juga memilih untuk menghisap rokok berkenaan berikutan rasa yang lebih ‘kick’ atas sebab mungkin kerana ramuan dalam kandungan rokok terbabit melebihi daripada apa dibenarkan untuk rokok sah.


Sementara itu, seorang peruncit di Padang Jawa, Shah Alam, Selangor, berkata, sambutan terhadap rokok berkenaan amat tinggi hingga dia tidak ragu-ragu untuk menjualnya secara terbuka.


Dia yang juga warga Indonesia berusia 40-an berkata, dia pasti permintaan rokok itu akan lebih meningkat berikutan kenaikan harga terkini rokok sah sebanyak RM1.50 buatan syarikat tempatan berjenama antarabangsa dengan harga terbaru menjadikan sekotak RM10.50 dan RM12.

“Pelanggan saya bukan saja pencari rezeki warga asing di sini seperti senegara saya dari Indonesia, malah dari Nepal, Bangladesh, Myanmar, Thailand dan lain-lain.


“Rakyat tempatan juga ramai membeli rokok murah ini terutama pelajar dan pekerja kilang.

“Saya jual sebab ada permintaan dan stok juga mudah didapati,” katanya yang enggan mendedahkan di mana dia mendapatkan bekalan berkenaan. Dipercayai dia mendapatkan bekalan rokok itu di Chow Kit.


Justeru, tidak hairanlah Ketua Eksekutif Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM), Shahrul Azamin Abdullah berkata, masalah kebanjiran rokok tidak sah, seludup serta tiruan di negara ini adalah serius dan perlu dibendung segera pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment