Search This Blog

Tuesday, October 15, 2013

Bekas tahanan tak sempat mencuri



Puchong: Tidak serik. Itu yang boleh digambarkan kepada seorang lelaki bekas tahanan Ordinan Darurat apabila ditahan polis ketika sedang mengumpil pintu kereta dipercayai mahu dicuri di Jalan Bandar 3, Puchong Jaya, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, lelaki berkenaan yang juga seorang penganggur dan berusia 35 tahun ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang melakukan rondaan jenayah di kawasan itu.


Menurut sumber, ketika dihampiri, lelaki itu cuba melarikan diri, namun tindakan pantas polis berjaya menahannya.

Berdasarkan pemeriksaan awal, anggota PGA berkenaan menemui pemutar skru dipercayai digunakan untuk mengumpil pintu sebuah kereta Toyota Vios yang diletakkan di tepi jalan utama kawasan berkenaan.


“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu memiliki lapan rekod lampau bersabit kes curi dan memiliki kenderaan curi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Ipoh sejak 2000 hingga 2004 lalu.


“Ketika ditahan, anggota PGA turut merampas sebuah kereta jenis Proton Wira dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti jenayah dan semakan lanjut mendapati kereta itu pernah dilaporkan hilang di USJ, Subang Jaya tahun ini,” katanya.

Lelaki terbabit kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan siasatan lanjut mengenainya akan dilakukan.

No comments:

Post a Comment