Search This Blog

Thursday, October 3, 2013

Atlet lumba basikal Terengganu maut digilis van


DUNGUN 2 Okt. - Seorang atlet lumba basikal Terengganu, Mohamad Asmu'i Ali, 20, maut akibat cedera parah digilis van pengiring setelah terjatuh di Kilometer 71, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Batu Tiong, Pulau Serai di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi, ketika mangsa bersama sekumpulan 16 lagi atlet dalam misi kayuhan latihan dari Kuala Terengganu menuju Kuantan sebelum menyertai kejohanan Sapura Kencana Criterium Series di litar Sepang, Ahad ini.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam Jurusan Sains Sukan itu yang mengalami cedera parah di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat sebelum dibawa pulang ke Kampung Dusun, Kuala Ibai, Kuala Terengganu untuk dikebumikan.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Zainal Abidin Hussin berkata, sudah menjadi lazim skuad tersebut mengayuh basikal menuju ke tempat kejohanan sebagai satu latihan.
"Sebelum berlepas ke Kuantan pagi ini, mereka (skuad basikal) telah diberi taklimat oleh pegawai MSNT dan kita telah memberi perangsang serta menasihati mereka agar berhati-hati semasa mengayuh.
"Tetapi malang tidak berbau, apabila sampai ke tempat kejadian, Mohamad Asmu'i dikatakan hilang kawalan setelah melalui satu lopak air dan terjatuh lalu dilanggar oleh van MSNT yang bertindak sebagai kenderaan pengiring," katanya kepada pemberita ketika menziarah jenazah mangsa di Hospital Dungun tengah hari ini.
Kemalangan tersebut merupakan insiden kedua yang meragut nyawa pelumba di Terengganu pada tahun ini.
Pada 5 Jun lalu, seorang atlet pelapis lumba basikal bawah 15 tahun maut digilis treler di jambatan Kampung Guntung, Tepoh, Kuala Terengganu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, Muhammad Syafiq Imran Syahril, 15, dan 45 pelumba lain menjalani latihan harian dari pusat bandar raya apabila dia terjatuh di laluan bertentangan.
Zainal Abidin berkata, beliau serta semua pegawai MSNT dan Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu (PLBNT) berasa amat dukacita dengan apa berlaku dan berharap keluarga Mohamad Asmu'i tabah dengan dugaan itu.
Katanya, mangsa cukup dedikasi dalam sukan berbasikal dan sanggup bercuti semata-mata untuk memberi tumpuan menjalani latihan bagi menghadapi beberapa kejohanan dalam tempoh terdekat dan Sukan Malaysia (SUKMA) di Perlis tahun depan.
"Ekoran tragedi itu, pihak MSNT juga sedang memikirkan bentuk bantuan yang akan dihulurkan kepada keluarga mangsa," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua PLBNT, Datuk Ahmad Sidi Ismail semasa ditemui berkata, skuad lumba basikal Terengganu kehilangan seorang lagi pelumba yang sangat berbakat dalam tempoh lima bulan.
"Saya sangat sedih apabila mendengar berita tentang kemalangan yang menimpa Allahyarham kerana baru pagi ini, sebelum berlepas kami berjumpa.
"Sebelum ini seorang skuad lumba basikal Terengganu turut maut dalam kemalangan semasa sedang menjalani latihan di Kuala Terengganu dan kehilangan mereka ini adalah satu kehilangan besar dan sukar dicari ganti," katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi akaun twitternya megucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
"Al-Fatihah dan takziah kepada keluarga pelumba basikal Terengganu, Mohamad Asmu'i yang maut ketika menjalani latihan di sepanjang Jalan Kuala Terengganu-Kuantan pada 11.30 pagi," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131003/je_03/Atlet-lumba-basikal-Terengganu-maut-digilis-van#ixzz2gboC3VCL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment