Search This Blog

Thursday, October 3, 2013

Atlet lumba basikal digilis van

Atlet lumba basikal digilis vanMohamad Asmu'i digilis van pengiring ketika dalam perjalanan ke Balok Kuantan bersama 14 rakan di Kampung Pulau Serai, Dungun, semalam.

DUNGUN – “Tadi dia berat hati sertai konvoi, tak sangka ini petanda dia temui ajal.” kata Abdul Aziz Mohd Zahidi, 19, rakan karib Allahyarham Mohamad Asmu’i Ali @ Awang, 19.

Mohamad Asmu’i, pelumba basikal Sukma Terengganu terbunuh dalam kemalangan di Pulau Serai, Dungun, pagi semalam.

Ketika kejadian, mangsa bersama 14 peserta lain termasuk dua peserta wanita sedang berlatih berbasikal menuju ke Balok, Kuantan sebelum ke Sepang, Selangor bagi menyertai satu sirkit.

Tiba di tempat kejadian, basikal dinaiki mangsa hilang kawalan ketika cuba elak jalan rosak sebelum terjatuh dan digilis van mengiringinya.

Turut terbabit dalam kemalangan itu, rakannya, Mohd Fahmi Irfan Mohd Zailani, 21, namun Irfan hanya cedera ringan di lengan dan lutut.

Menceritakan detik sebelum kejadian, Abdul Aziz berkata, sebelum bertolak ke Balok, Kuantan, mereka bersarapan di Flat Hiliran Kuala Terengganu.

Katanya, ketika itu Mohamad Asmu’i tidak banyak cakap cuma memberitahu enggan menyertai perlumbaan di Sepang.

"Ketika minum, dia beberapa kali beritahu saya bahawa dia enggan mengayuh dan tak berapa seronok untuk menyertai perlumbaan itu, katanya kali ini dia hendak naik van saja.

“Tak sangka pula tingkah laku pelik Mohamad Asmu’i itu rupa-rupanya menjadi kenyataan, dia tak sempat berlumba,” kata Abdul Aziz.

Seorang lagi rakan arwah, Mohd Irfan berkata, ketika kejadian, dia sedang mengayuh basikal bersama Mohamad Asmu’i.

Katanya, tiba-tiba Allahyarham terbabas lalu terjatuh, manakala dia juga jatuh namun sempat mengelak daripada dilanggar van tersebut.

"Saya tak tahu apa berlaku, bila bangun saya lihat Mohamad Asmu’i sudah terbaring dan darah mengalir atas jalan,” kata Irfan.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacob tiba di lokasi kejadian berkata, pihaknya sedang mensiasat kes itu.

Katanya, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun.

Jenazah mangsa dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang ke kampungnya di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Tragedi ketiga babitkan pelumba basikal 

Jun lalu, seorang pelatih skuad projek pelapis lumba basikal Terengganu maut, manakala dua lagi cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori ketika menjalani
latihan harian di Kuala Terengganu.

Mohd Shafik Imran Syahril, 15, dari Kampung Cabang Tiga, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala pelatih cedera ialah Ahmad Fikri Ahmad Fazli, 19, dan Cikku Mohamad Nadzmi Cikku Ramli, 19.

Ia berlaku ketika kira-kira 40 pelatih lumba basikal Terengganu termasuk dari pasukan TSG, Skuad Sukma dan projek pelapis pasukan lumba basikal Terengganu menjalani latihan
harian dari Kuala Terengganu menuju ke Bukit Besi melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2).

Tahun lalu, seorang pelumba dari Kelab Basikal Le Tua maut dirempuh kereta berhampiran Taman Melawati, Ulu Kelang, Selangor.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi pada Mac 2012 itu, Rafizi Hamdan, 37, mati di tempat kejadian selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta Proton Saga, ketika berbasikal di
Jalan Lingkaran Tengah 2 berhampiran Taman Melawati ke arah Gombak.

Allahyarham Rafizi dilaporkan dalam perjalanan menyertai aktiviti berbasikal bersama anggota kelab tersebut.

No comments:

Post a Comment