Search This Blog

Tuesday, October 15, 2013

ASP wanita ditahan tugas


Georgetown: Pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan suspek ‘kasanova Internet’ di Mahkamah Sesyen, di sini, Rabu lalu ditahan tugas berkuat kuasa semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pegawai kanan berusia 55 tahun itu dibenarkan diikat jamin selepas menerima arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menahan tugasnya sehingga siasatan selesai serta diarahkan bercuti.


Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 225 (a) Kanun Keseksaan iaitu mempunyai niat untuk cuba atau melepaskan tahanan ditahan kerana menyalahi undang-undang dan sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan atau didenda atau kedua-duanya.

“Saya sudah mengarahkan pegawai kanan wanita itu bercuti sehingga diberitahu kelak berikutan Polis Pulau Pinang sudah menerima arahan Ketua Polis Negara untuk menahan tugasnya,” katanya.


Dalam kejadian jam 2 petang itu, pegawai wanita terbabit dikatakan mengarahkan polis pengiring membawa suspek, K Prabaharan, 44, ke pejabatnya konon untuk memberi ‘nasihat’.


Ketika suspek bersamanya sebelum menghadiri kes sebutan bersabit kesalahan menipu di Mahkamah Sesyen pada hari itu, pegawai wanita itu meminta anggota polis pengiring pergi makan dan meninggalkan suspek dengan keadaan tangan bergari bersamanya.

Bagaimanapun, suspek mempunyai ketinggian 1.5 meter dengan berat 50 kilogram, berambut pendek dan bermisai nipis itu memperdaya pegawai wanita itu sebelum lesap ketika pegawai terbabit leka menjalankan tugas.


Usaha mencarinya selama dua jam di kawasan mahkamah gagal dan satu laporan polis berhubung kehilangannya dibuat.

Polis sudah mengedarkan fotofit wajah suspek ke semua balai polis dan percaya dia masih bersembunyi di negeri itu dan siasatan mendapati wujud unsur kecuaian hingga suspek dapat meloloskan diri ketika berada di bilik pegawai itu.

No comments:

Post a Comment