Search This Blog

Thursday, October 3, 2013

Anggota kongsi gelap Melayu juga bertatu


BADAN seorang ahli kumpulan kongsi gelap keturunan Melayu dipenuhi tatu berlambangkan pertubuhan haram yang disertainya.
KUALA LUMPUR 2 Okt. - Dakwaan mengatakan polis sengaja memberkas kaum tertentu yang mempunyai tatu pada badan dalam Op Cantas Khas tidak berasas kerana ahli kumpulan kongsi gelap Melayu yang mempunyai tatu turut tidak terlepas diburu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abd. Jalil Hasan berkata, dakwaan tersebut tidak benar kerana polis hanya menangkap individu yang mempunyai tatu pelik merujuk kepada kumpulan kongsi gelap yang diharamkan.
Beliau berkata, kebanyakan ahli kongsi gelap di negara ini mempunyai tatu sebagai pengenalan diri masing-masing termasuk kumpulan kongsi gelap Melayu.
"Kita tidak pernah memberi tumpuan kepada etnik tertentu sahaja kerana kita membuat tangkapan terhadap mana-mana individu yang mempunyai tatu pelik untuk disiasat tentang penglibatan mereka dengan kumpulan kongsi gelap.
"Sebenarnya, orang Melayu yang mempunyai kaitan dengan kongsi gelap juga mempunyai tatu pelik di badan. Ini dibuktikan dengan beberapa siri tangkapan dilakukan dalam Op Cantas Khas baru-baru ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut Abd. Jalil, terdapat orang Melayu yang ditahan dalam Op Cantas Khas didapati mempunyai lukisan tatu di setiap badannya.
Beliau berkata, sebagai contoh, penahanan terhadap seorang suspek bergelar ayahanda kepada satu kumpulan kongsi gelap pada September lalu mendapati, badannya dipenuhi dengan pelbagai tatu pelik sedangkan dia keturunan Melayu dan beragama Islam.
Katanya, pemeriksaan mendapati lelaki itu adalah ketua kepada satu kumpulan kongsi gelap dan memiliki tiga pucuk pistol.
"Polis akan memeriksa latar belakang setiap individu yang ditahan sebelum mengaitkan mereka dengan kumpulan kongsi gelap.
"Kita tidak akan sewenang-wenangnya menahan orang tanpa kesalahan yang dilakukan. Banyak perkara yang akan dirujuk terlebih dahulu untuk mengaitkan mereka dengan kongsi gelap termasuklah tatu pada badan," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131003/je_05/Anggota-kongsi-gelap-Melayu-juga-bertatu#ixzz2gbni6zQq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment