Search This Blog

Friday, October 4, 2013

82 lemas bot pencari suaka terbalik



BEG berisi mayat imigran yang lemas disusun di pelabuhan Lampedusa, Itali semalam.


ROM - Sekurang-kurangnya 82 pencari suaka lemas, manakala 150 yang lain diselamatkan selepas sebuah bot membawa 500 orang terbakar dan terbalik dekat sebuah pulau di Itali, kata beberapa pegawai semalam.
Agensi berita Itali, Ansa memetik Datuk Bandar Lampedusa, Giusi Nicolini sebagai berkata, 82 mayat ditemui oleh pasukan kecemasan termasuk beberapa orang kanak-kanak dan wanita.
"Mangsa-mangsa yang terselamat pula masih trauma," kata Nicolini kepada saluran televisyen SkyTG24.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Itali, Enrico Letta menyifatkan kemalangan itu satu tragedi besar.
Beberapa stesen televisyen tempatan menunjukkan mangsa-mangsa yang terselamat tiba di jeti pulau berkenaan dengan berselimut.
"Kita tidak boleh terus mengira bilangan mangsa yang mati. Kita mesti melakukan sesuatu bagi menghalang tragedi ini daripada berulang," kata seorang paderi tempatan, Francesco Montenegro.
Beberapa pencari suaka itu berkata, mereka berasal dari Eritrea dan Somalia. Sementara polis tempatan memberitahu, bot berkenaan bertolak dari Libya.
Menurut Nicolini, imigran-imigran itu memberitahu, mereka membuat unggun api kecil di atas bot sekitar beberapa ratus meter dari pantai untuk menarik perhatian pengawal pantai selepas enjinnya rosak.
Api kemudian merebak dan mencetuskan panik dalam kalangan imigran sebelum terbalik.
Lampedusa merupakan sebuah pulau milik Itali yang terletak di antara Tunisia dan Sicily. Lokasi itu menjadi laluan utama pencari suaka untuk memasuki Kesatuan Eropah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2giS1wiV5 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment