Search This Blog

Sunday, October 13, 2013

50 terbunuh kapal karam di Itali


seorang migran yang terselamat mengangkat anaknya ketika Tentera Malta memindahkan mangsa yang terselamat dalam kejadian kapal karam di perairan Sicily ke pengkalan Maritim di Haywharf di pelabuhan Valletta, semalam. - REUTERS
PALERMO, Itali 12 Okt. - Sekurang-kurangnya 50 orang maut, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, apabila sebuah bot yang membawa kira-kira 250 migran dari Tunisia ke Sicily karam di sini, semalam.
Agensi berita Itali, ANSA melaporkan, 50 mayat, termasuk 10 kanak-kanak ditemui dalam kejadian yang berlaku kira-kira 100 kilometer dari selatan Lampedusa, barat daya Sicily, nahas bot karam kali kedua pada bulan ini.
Perdana Menteri Malta, Joseph Muscat pada sidang akhbar di Valletta berkata, kira-kira 27 orang maut dalam kejadian itu tetapi angka korban dijangka meningkat.
Tentera Laut Malta berkata, mereka berjaya menyelamatkan kira-kira 150 penumpang bot itu manakala sebuah kapal Tentera Laut Itali pula menyelamatkan 56 mangsa lain.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah pula diterbangkan menggunakan helikopter ke Lampedusa.
Pihak berkuasa Malta menyelia operasi menyelamat walaupun kejadian itu berlaku di perairan antarabangsa ekoran zon menyelamat berada di bawah negara itu.
Kejadian itu adalah insiden bot karam kedua dalam bulan ini selepas sebuah bot yang membawa migran dari Eritrea dan Somalia karam berhampiran Lampedusa, barat daya Sicily pada 3 Oktober lalu, menyebabkan 339 orang maut. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131013/lu_03/50-terbunuh-kapal-karam-di-Itali#ixzz2hYxeqrLe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment