Search This Blog

Tuesday, October 29, 2013

4 suspek samun polis dicekup


Kuala Pilah: Polis berjaya menahan empat suspek yang dikehendaki berikutan kes samun terhadap seorang anggota polis di sebuah taman rekreasi, Jalan Bukit, di sini, pada 20 Ogos lalu.

Penahanan itu dibuat secara berperingkat dengan tangkapan tiga daripada mereka pada hari kejadian (20 Ogos) disusuli seorang suspek dicekup pada 20 Disember lalu di Setapak, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, pada 20 Ogos lalu, keempat-empat suspek yang bersenjatakan parang melakukan samun terhadap seorang anggota polis kira-kira jam 11 pagi ketika sedang berehat di taman itu.

Katanya, mangsa yang berpangkat konstabel diacukan parang oleh suspek bermotosikal menyebabkan mangsa cemas.

“Berlaku pergelutan hingga mangsa mengalami kecederaan. Suspek melarikan telefon bimbit, motosikal jenis Yamaha 125Z dan topi keledar milik anggota polis berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketika melarikan diri ke pekan Kuala Pilah sambil menunda motosikal curi berkenaan, secara kebetulan sebuah kereta peronda polis ternampak suspek dan menyedari motosikal yang ditunda itu milik anggota mereka.

“Menyedari kehadiran polis, suspek meninggalkan motosikal berkenaan dan cuba melarikan diri ke hutan berhampiran.

“Polis mengepung mereka dan hasilnya dua suspek berjaya dicekup dan dua lagi melarikan diri. Bagaimanapun, seorang suspek dicekup keesokannya ketika bersiar-siar di pekan Kuala Pilah,” katanya.

Menurut Azmi, usaha memburu seorang lagi suspek tidak terhenti biarpun pihaknya dimaklumkan suspek sudah melarikan diri ke Kuala Lumpur.

“Melalui kerjasama dengan Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur, kami berjaya mencekup suspek berkenaan kerana terbabit banyak kes samun di ibu kota pada 20 Disember lalu,” katanya.

Katanya, empat-empat suspek terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan bersenjata.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

No comments:

Post a Comment