Search This Blog

Tuesday, October 29, 2013

22 maut pilih ketua kampung


2013/10/29
Manila: Pasukan keselamatan diletakkan di dalam keadaan berjaga-jaga di seluruh Filipina semalam ketika berjuta-juta pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka memilih ketua kampung, dengan 22 orang maut dalam keganasan pra-pilihan raya.

Pegawai pilihan raya berkata, kira-kira 336,000 jawatan ketua kampung dan kaunselor menjadi rebutan di negara demokrasi tetapi dicemari rasuah yang menyaksikan ahli politik diketahui mengupah tentera persendirian membunuh atau mengugut pesaing.
Walaupun kampung adalah unit paling kecil kerajaan, ia penting kerana bertindak sebagai penghubung bagi parti politik besar untuk memupuk rangkaian akar umbi dan meluaskan pangkalan sokongan.

“Berlaku keganasan disebabkan persaingan sengit dengan emosi memuncak antara pencabar,” kata jurucakap polis, Reuben Theodore Sindac.

Katanya, 22 maut dalam masa empat minggu sebelum pilihan raya, sebahagiannya ahli politik yang bertanding semula.

Dua puluh tujuh lagi cedera dalam keganasan berkaitan pilihan raya, termasuk dua pegawai polis dan dua pegawai pilihan raya yang diserang hendap lelaki bersenjata tidak dikenali di wilayah Masbate kelmarin.

Di sebalik usaha Presiden Benigno Aquino untuk mengekang kuasa ahli politik dan tentera persendirian mereka, Sindac berkata keganasan tahun ini lebih buruk berbanding pilihan raya kampung pada 2010, apabila 15 orang terbunuh.
Polis kawal pusat undi

“Kami meningkatkan usaha melindungi semua orang,” katanya.

Polis mengawal pusat pengundian di seluruh negara, manakala tentera dikerah membantu di kawasan panas seperti di Mindanao.

Tidak seperti pilihan raya presiden dan kongres, kiraan dibuat secara automatik, pengundian semalam menggunakan kaedah manual.

Pengundi automatik dianggap berjaya dalam mengurangkan keganasan, kerana menjauhkan peluang ahli politik menipu peti undi.

Laporan curi peti undi

Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, sudah ada laporan mengenai sebahagian penyokong calon mencuri peti undi kawasan pedalaman yang memang diketuai menipu dalam pilihan raya.

Pada November 2009, 59 orang terbunuh dalam pembunuhan beramai-ramai di Filipina apabila pengikut puak berpengaruh dan wartawan ditembak mati oleh keluarga pesaing mereka.
AFP

No comments:

Post a Comment