Search This Blog

Tuesday, October 29, 2013

2 anggota polis dituduh rompak, rogol warga China


2013/10/29
 
Petaling Jaya: Dua konstabel polis dihadapkan ke dua mahkamah berasingan semalam, atas tuduhan merompak dan merogol seorang wanita warga China, September lalu.

Konstabel, Mohamad Hafizan Ibrahim, 22, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan merogol wanita berusia 30 tahun di Syarikat Emerald Pavilion Sdn. Bhd, Nombor 37, Jalan SS24/8 Taman Megah, pada jam 1.10 pagi, 20 September lalu.
Mengaku tak bersalah

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik tuduhan dibacakan di depan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Mohamad Hafizan yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 November ini untuk sebutan kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen kedua, tertuduh bersama konstabel Mohd Khairulnizam Dolah Kairi, 31; Zainulazli Zahari, 30; Mohd Irham Abdul Rahman, 25 dan Normazlina Kamarudin, 34, mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan rompak berkumpulan.
Rompakan berkumpulan

Mereka dituduh melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pistol jenis revolver .38 terhadap lima wanita warga China berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun termasuk mangsa, di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 397 kanun sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah, tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan dua daripada tertuduh adalah anggota polis dan perbuatan berkenaan menunjukkan tertuduh menyalahgunakan kedudukan mereka.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 November ini untuk sebutan kes.

Semua tertuduh tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment