Search This Blog

Saturday, October 19, 2013

17 mayat ditemui


Pakse: Sekurang-kurangnya 17 mayat ditemui semalam selepas sebuah pesawat Laos terhempas di Sungai Mekong mengorbankan semua penumpang dalam nahas udara terburuk negara itu, kelmarin.

Seramai 49 penumpang dan kru, lebih separuh daripadanya warga asing dari pelbagai negara menaiki Pesawat Lao turboprop ATR-72 ketika nahas berlaku.
Sukarelawan penyelamat yang menaiki bot untuk mencari mangsa menghadapi kesukaran kerana arus deras dan tebing berlumpur.

Penyelamat berkata kerja membawa rangka pesawat dari sungai itu tugas berat dan sukar.

Foto
ANGGOTA penyelamat menarik cebisan mayat mangsa yang ditemui semalam.

Foto
SEORANG tentera menutup mayat mangsa yang ditemui di Sungai Mekong di Pakse semalam.

Pesawat itu menjunam di dasar sungai.


Soubinh Keiphet, bekas pemain bolasepak kebangsaan dan sukarelawan Yayasan Penyelamat Laos berkata, satu mayat ditemui kira-kira 30 kilometer dari tempat nahas.

“Kami menemui empat lagi mayat di tebing sungai,” katanya selepas menarik keluar cebisan mayat mangsa dari sungai.

“Saya terkejut dan sedih. Nahas itu sepatutnya tidak berlaku,” katanya.

Sommad Pholsena, Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan Laos memberitahu wartawan, 17 mayat ditemui setakat ini.

“Kami sudah menyiasat punca nahas. Saya berpendapat ia berpunca dari cuaca buruk,” katanya.

Sebuah kapal tentera laut, beberapa bot penyelamat dan jet ski melakukan kerja menyelamat di sungai itu semalam.

Pesawat dari Vientiane itu membawa 44 penumpang dan lima kru termasuk 28 warga asing apabila nahas berlaku akibat cuaca buruk dekat Lapangan Terbang Pakse, di wilayah Champasak, kata pegawai.

Deretan keranda kayu kelihatan di rumah mayat di Pakse.

Beberapa saksi berkata mereka melihat pesawat itu bergoyang ketika dipukul angin kuat sebelum terhempas.

Mengikut senarai yang dikeluarkan syarikat itu, 16 daripada penumpang itu ialah warga Laos, tujuh Perancis, enam Australia, lima Thailand, tiga Korea Selatan, tiga Vietnam dan masing-masing seorang warga Amerika Syarikat, Malaysia, China dan Taiwan.

Juruterbang pesawat itu warga Kemboja dikatakan mempunyai beberapa tahun pengalaman.

Terdapat 29 nahas udara berlaku di negara bekas komunis itu sejak 1950-an. Nahas udara paling buruk ialah pada 1954, mengorbankan 47 orang dekat Pakse. - AFP

No comments:

Post a Comment