Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Wisma Negeri dipecah masuk


2013/09/26
Seremban: Tiga pejabat, termasuk milik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Datuk Shamsulkahar Mohd Deli, di bangunan Wisma Negeri, di sini, dipecah masuk, awal pagi semalam.

Pejabat lain dipecah masuk di kompleks yang menempatkan pelbagai jabatan kerajaan ialah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang terletak bersebelahan.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian pada jam 2 pagi itu dipercayai dilakukan seorang suspek lelaki yang memakai sarung tangan.

Tiada dokumen hilang

Bagaimanapun, tiada dokumen penting hilang di ketiga-tiga pejabat berkenaan. Suspek hanya dapat melarikan wang tunai RM100.

Seorang kakitangan PTG, Mashaniza Mohamad, 33, yang tiba di pejabat kira-kira jam 6.45 pagi berkata, dia nampak serpihan kaca bertaburan di lantai ketika memasuki pejabat dan menyangka dinding kaca jatuh kerana keadaan gelap.

“Sebaik menyalakan lampu, saya nampak dinding kaca bersebelahan pintu masuk utama pecah, manakala semua laci dalam pejabat dibuka,” katanya yang kemudian melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan.
Suspek dipercayai turut menebuk dinding di belakang kaunter perkhidmatan untuk masuk ke bilik lain pejabat itu.

Sementara itu, Shamsulkahar mengetahui kejadian itu kira-kira jam 7.15 pagi, selepas dimaklumkan pembantunya, tetapi bersyukur tiada dokumen atau barang berharga hilang dari pejabatnya.

Katanya, suspek dipercayai memasuki pejabatnya melalui tingkap belakang yang rosak.

Pengarah PTG Negeri Sembilan, Datuk Mohd Bahrudin Mahfuz berkata, hanya sejumlah wang milik kakitangan dilarikan suspek.

Wang milik kakitangan

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu, mengesahkan kejadian itu dan berkata, wang RM100 itu milik kakitangan PTG.

“Ketika kejadian, tiga pengawal keselamatan bertugas dan suspek dipercayai masuk ke Wisma Negeri tanpa disedari kerana beberapa bahagian bangunan itu yang gelap,” katanya yang memberitahu kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment