Search This Blog

Sunday, September 29, 2013

Warga Pakistan dibunuh dalam kedai sendiri

Warga Pakistan dibunuh dalam kedai sendiriPasukan forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian. Gambar kecil: Hadi.

KUALA NERUS - Seorang lelaki warga Pakistan ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan dalam kedai perabot miliknya di Kampung Padang Nenas, Jalan Mengabang Telipot, di sini, semalam.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku jam 12 tengah hari itu, mangsa, Hadi Khan Yusof, 55, yang mempunyai taraf penduduk tetap (PR) ditemui berlumuran darah dalam keadaan terbaring di bahagian belakang kedainya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam dan setibanya di lokasi, mangsa didapati sudah meninggal dunia akibat
ditikam dengan senjata tajam.

“Mangsa sudah lebih 20 tahun menetap di negara ini dan tinggal bersendirian kerana anak serta isterinya baru pulang ke negara asal mereka di Pakistan.

"Kita masih lagi mengesan senjata yang digunakan kerana ia tidak ditemui di tempat kejadian. Kita ada terima maklumat daripada jiran dan sedang mengesan suspek, bagaimanapun motif dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan termasuk mengenal
pasti barang peribadi milik mangsa,” katanya.

Manoharan berkata, mangsa dipercayai baru membuka perniagaan di kawasan berkenaan dan polis sedang berusaha menghubungi keluarganya di Pakistan.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, menurut seorang saksi, Ahmad Syafandi Mohd Yusof, 34, dia sama sekali tidak menyangka punca mangsa lewat membuka kedai akhirnya membawa kepada penemuan mayat jirannya itu yang baru dikenali sebulan lalu oleh seorang
pemandu lori yang datang untuk mengambil barang di kedai perabot berkenaan.

“Sebelum itu, ada beberapa orang datang bertanyakan mangsa kerana kedainya masih belum dibuka, tapi ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dimaklumkan pemandu lori berhubung penemuan mayat berkenaan dan saya segera  menghubungi polis,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Menurut pengusaha kedai pakaian yang juga jiran terdekat mangsa, sebelum kejadian iaitu kira-kira jam 8.30 pagi, ada jiran lain yang melihat mangsa sedang membaca surat khabar di bahagian depan kedai perabotnya dan selepas itu, mangsa terus tidak
muncul.

“Mangsa tinggal seorang diri dan biasanya dia buka kedai lebih awal daripada saya kerana dia menetap di tingkat atas kedainya, jadi bila dia lewat buka kedai, ramai yang tanya.

“Sebaik dimaklumkan pemandu lori berkenaan, saya bergegas ke dalam kedainya dan melihat mangsa sudah terbaring dengan berlumuran darah,” katanya yang baru sebulan memulakan operasi di kedai bersebelahan mangsa.

No comments:

Post a Comment