Search This Blog

Monday, September 30, 2013

Warga emas maut van, dihempap lori


Beginilah keadaan van yang remuk sama sekali apabila dihempap lori membawa batu hingga meragut seorang nyawa dalam kemalangan di Kampung Sungai Kelong di Pasir Puteh, Kelantan semalam.
PASIR PUTEH 30 Sept. - Seorang warga emas lelaki maut selepas van dinaiki dirempuh dan dihempap sebuah lori yang sarat dengan muatan batu dalam kemalangan di Kampung Sungai Kelong dekat sini semalam.
Kemalangan ngeri berlaku pukul 1.20 petang itu meragut nyawa Ismail Awang, 63, manakala pemandu van dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini, setelah mengalami cedera parah.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, siasatan awal mendapati van dipenuhi buah kelapa yang dipandu oleh Mohd. Nazri Abdul Majid dari arah Kota Bharu ke Pasir Puteh sedang membelok ke kanan untuk masuk ke rumah Ismail sebelum dirempuh oleh lori berkenaan.
Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah, manakala Mohd. Nazri yang turut cedera dirawat HUSM.
"Pemandu lori berusia 58 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini hari ini.
Dalam kes berasingan, Mohd. Kamal berkata, seorang kanak-kanak lelaki mati dirempuh kereta pikap ketika cuba melintas jalan di Kilometer 50, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Bukit Yong di sini pada pukul 5.30 petang semalam.
Beliau berkata, mangsa, Mohamad Badrul Amin Abdullah, 8, dikatakan melintas jalan untuk ke kedai runcit sebelum dirempuh kenderaan yang dipandu seorang lelaki yang menghala ke Jerteh, Terengganu.
"Rempuhan itu menyebabkan mangsa terpelanting dan mengalami kecederaan parah di kepala dan mangsa yang dikejarkan ke Hospital Tengku Anis (HTA) meninggal dunia pukul 8 malam tadi," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_03/Warga-emas-maut-van-dihempap-lori#ixzz2gSuYK3RL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment